Selepas kejayaan demi kejayaan dalam dunia muzik tanah air, penyanyi bersuara lunak dan penuh emosi, Wany Hasrita, kembali menghangatkan industri dengan single terbaharunya berjudul “Jahat”. Lagu yang cukup meruntun jiwa ini turut dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) untuk drama bersiri popular “Pabila Dia Tersenyum”, yang kini boleh ditonton secara eksklusif di platform penstriman Viu sejak 24 April lalu. Diterbitkan oleh Sony Music Malaysia, “Jahat” menjanjikan pengalaman mendalam buat peminat muzik dan drama tempatan.
Menurut Wany, “Jahat” memberi peluang untuk dirinya menyelami sisi yang lebih peribadi dan emosional sebagai seorang penyanyi. Kali ini, Wany tampil dengan penyampaian yang lebih matang, mendalam dan penuh jiwa, menjadikan lagu ini berbeza daripada karya-karyanya sebelum ini.
Apa yang lebih istimewa, “Jahat” merupakan hasil kolaborasi pertamanya bersama barisan komposer berbakat dari Indonesia seperti Audree Dewangga, David Elsandro, Andre Lizt dan Trakast, memberikan nuansa pop balada yang lebih segar, namun kekal menyentuh emosi pendengar.
“Saya memang mengimpikan lagu balada yang betul-betul ‘galau’ dan menyentuh perasaan. Bila pertama kali dengar demo ‘Jahat’, saya tahu inilah lagunya,” ujar Wany penuh teruja. Proses rakaman juga berjalan lancar dan hanya memakan masa tiga jam, namun menurutnya, cabaran sebenar adalah menyampaikan setiap bait lirik dengan emosi yang tepat.
Muzik video rasmi “Jahat” pula diarahkan dengan konsep visual yang cukup suram dan minimalis, namun sarat dengan simbolisme emosi dalaman seorang wanita yang terperangkap dalam hubungan toksik. Wany sendiri mengakui, emosi dalam MV tersebut hadir secara semula jadi kerana lagu itu sendiri terlalu dekat dengan realiti ramai wanita di luar sana.
Drama “Pabila Dia Tersenyum” yang turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Amir Ahnaf, Alya Iman dan Adam Lee, menyajikan kisah dramatik seorang gadis yang dibelenggu kisah silam dan konflik peribadi yang mencabar jiwa. Lagu “Jahat” menyempurnakan naratif tersebut dengan sentuhan suara Wany yang penuh rasa.
“Saya sangat bersyukur kerana lagu ini dipilih sebagai OST rasmi. Ia bukan hanya penghargaan buat saya, tetapi juga peluang untuk lagu ini menjadi sebahagian daripada perjalanan emosi penonton drama,” tambah Wany.
Dalam harapannya, Wany mahu “Jahat” menjadi peneman buat mereka yang sedang melalui fasa perit dalam perhubungan. “Kadang-kadang kita tak kuat untuk luah, tapi bila dengar lagu yang ‘kena’, hati jadi sedikit reda. Itu yang saya harapkan dari ‘Jahat’,” katanya.
Kini, “Jahat” boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Wany Hasrita.