
Bakal dhuyufurrahman dan orang ramai berpeluang menikmati pengisian hujung minggu yang bermanfaat menerusi Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali ke-5 (KHUP5) yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober 2026 di Mövenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), KLIA, Sepang. Mengetengahkan konsep karnival mesra keluarga, acara anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dan BUMITRA Malaysia ini menggabungkan urusan perancangan ibadah dengan pelbagai aktiviti pendidikan interaktif untuk seisi keluarga.
Antara tarikan utama bagi anak-anak dan generasi muda ialah sesi Simulasi Haji Cilik yang dirangka secara visual dan praktikal bagi memberi kefahaman awal tentang pelaksanaan rukun dan manasik haji. Memeriahkan lagi suasana, karnival ini turut menganjurkan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak serta kemunculan watak animasi popular negara, BoBoiBoy, yang bakal menyantuni pengunjung cilik menerusi slot kuiz interaktif berhadiah.
Pengunjung dewasa pula dapat memanfaatkan sesi wacana ilmiah menerusi slot Bual Bicara dan rakaman Podcast TH yang membincangkan topik-topik praktikal berkaitan persediaan rohani, mental, dan kewangan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Pentas utama karnival turut dihangatkan dengan persembahan hiburan bermesej Islamik daripada barisan kumpulan nasyid tersohor tanah air termasuk The Raihan, Rabbani, serta persembahan istimewa daripada Ezad Lazim.
Karnival ini turut dilengkapi dengan Bazar Karnival yang menawarkan pelbagai pilihan jualan makanan, minuman, kelengkapan jemaah, serta produk gaya hidup patuh syariah, selain sesi cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bersama keluarga dan digalakkan mendaftar secara percuma di laman khupmalaysia.com untuk kemudahan pas laluan pantas sepanjang tiga hari acara berlangsung.



