Category: Acara

  • PENANG MEMANG LUAR BIASA! 300,000 ORANG UTARA MEMERIAHKAN KARNIVAL JOM HEBOH X MEGA JPJ MADANI 2026 DI BATU KAWAN!

    PENANG MEMANG LUAR BIASA! 300,000 ORANG UTARA MEMERIAHKAN KARNIVAL JOM HEBOH X MEGA JPJ MADANI 2026 DI BATU KAWAN!

    Kuala Lumpur, 28 April 2026 – Karnival Jom Heboh (KJH) x Mega JPJ MADANI 2026 mencipta fenomena luar biasa apabila lebih 300,000 pengunjung membanjiri Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang sepanjang tiga hari penganjurannya dari 24 hingga 26 April 2026. Suasana penuh meriah yang menggabungkan hiburan, aktiviti komuniti serta perkhidmatan rakyat menjadikan edisi kali ini antara yang paling signifikan dalam sejarah penganjuran karnival ikonik tersebut.

    Kolaborasi julung kali antara Karnival Jom Heboh dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena ulang tahun ke-80 agensi itu berjaya membawa dimensi baharu kepada pengalaman pengunjung. Pendekatan yang menggabungkan elemen hiburan dan perkhidmatan kerajaan dalam suasana santai membuka ruang interaksi lebih dekat antara rakyat dan agensi, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti.

    Kemeriahan acara turut diperkukuh dengan kehadiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan sambutan ulang tahun ke-80 JPJ. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook serta barisan kepimpinan tertinggi negara dan negeri, sekali gus menambah prestij kepada penganjuran ini.

    Sepanjang tiga hari berlangsung, pelbagai aktiviti menarik berjaya mencuri perhatian pengunjung. Antaranya termasuk JPJ Fun Run yang menghimpunkan ribuan peserta dalam suasana penuh semangat, selain inisiatif kebajikan seperti pertukaran helmet dan servis minyak hitam motosikal secara percuma yang menerima sambutan luar biasa. Jualan nombor pendaftaran kenderaan turut menjadi antara tarikan utama, menarik minat pengunjung dari pelbagai lapisan.

    Reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS) terus menjadi tumpuan dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti pertandingan karaoke, cabaran nyanyian serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. Kehadiran zon hiburan keluarga seperti Explorace Ejen Ali dan sambutan ulang tahun ke-10 Ejen Ali turut menambah kemeriahan, khususnya dalam kalangan pengunjung muda dan keluarga.

    Pengunjung juga berpeluang beramah mesra bersama selebriti dan personaliti popular seperti Zazzleen, Zairi Aziz, Alya Iman, Muaz Zabir, Gabriella, Siti Hariesa dan Nabil Aqil menerusi sesi eksklusif sepanjang karnival, sekali gus menjadikan pengalaman lebih dekat dan bermakna.

    Tidak ketinggalan, Rumah Hantu Jom Heboh x Pewaris Susuk tampil sebagai tarikan unik dengan pengalaman seram yang mendebarkan, selain memberi peluang kepada pengunjung untuk bertemu barisan pelakon filem tersebut secara eksklusif. Tarikan ini berjaya mencuri perhatian ramai dan menjadi antara aktiviti paling dibualkan sepanjang acara.

    Selain itu, lebih 150 reruai daripada pelbagai jenama dan agensi turut memeriahkan karnival dengan aktiviti interaktif, promosi eksklusif serta tawaran menarik. Dunia Kreatif NSTP dan pelbagai zon gaya hidup termasuk Love Food Fest yang menampilkan hidangan viral dan tempatan turut menjadi destinasi wajib pengunjung sepanjang karnival berlangsung.

    Acara kemuncak, Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua malam berturut-turut menjadi tarikan utama apabila ribuan peminat membanjiri kawasan konsert. Malam Sabtu diserikan dengan persembahan hebat daripada Dato’ Awie, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Shiha Zikir, Kristal X dan Wani Kayrie, manakala malam Ahad pula menyaksikan persembahan bertenaga daripada Nadeera, Ara Johari, Hael Husaini, Mariam OIAM, K.O.I dan Floor 88 yang berjaya menggegarkan suasana dengan sorakan gemuruh peminat.

    Secara keseluruhannya, Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026 bukan sahaja menawarkan hiburan menyeluruh, malah berjaya memperkukuh hubungan antara rakyat dan agensi melalui pendekatan yang lebih santai, inklusif dan dekat dengan komuniti. Kejayaan ini sekali lagi membuktikan Karnival Jom Heboh sebagai platform hiburan keluarga terbesar negara yang terus relevan dan dinanti-nantikan setiap tahun.

  • Jom Meriahkan Suasana Bersama! Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026 Bakal Menggegarkan Batu Kawan dengan Pelbagai Hiburan, Aktiviti dan Perkhidmatan untuk Rakyat

    Jom Meriahkan Suasana Bersama! Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026 Bakal Menggegarkan Batu Kawan dengan Pelbagai Hiburan, Aktiviti dan Perkhidmatan untuk Rakyat

    Karnival Jom Heboh (KJH), antara acara padang paling ikonik di Malaysia, kembali menghangatkan suasana dengan membuka tirai jelajah 2026 menerusi kolaborasi istimewa bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena sambutan ulang tahun ke-80 agensi tersebut. Bertempat di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, karnival ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 April 2026, menawarkan pelbagai aktiviti menarik, hiburan tanpa henti serta inisiatif mendekati rakyat dalam suasana santai dan meriah.

    Penganjuran kali ini menjadi lebih signifikan apabila buat julung kalinya KJH berganding bahu dengan Karnival Mega JPJ MADANI, menggabungkan elemen hiburan dan perkhidmatan komuniti dalam satu platform berskala besar. Kolaborasi ini membuka peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan agensi kerajaan sambil menikmati pengalaman karnival yang dinanti-nantikan.

    Lebih istimewa, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir bagi merasmikan sambutan ulang tahun JPJ ke-80 pada Sabtu, 25 April, bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook. Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi negara ini dijangka menyemarakkan lagi acara serta menambah nilai prestij kepada penganjuran tahun ini.

    Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik anjuran JPJ menanti pengunjung, termasuk JPJ Fun Run yang menggalakkan gaya hidup sihat, inisiatif kebajikan seperti pertukaran helmet dan servis minyak hitam motosikal secara percuma, serta jualan nombor pendaftaran kenderaan eksklusif yang pastinya menjadi tumpuan peminat automotif. Turut mencuri perhatian ialah Battle of the Band yang menampilkan enam kumpulan dari institusi pengajian tinggi tempatan, di samping perhimpunan kelab permotoran, zon permainan kanak-kanak Soopa Doopa, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma serta pelbagai aktiviti kecergasan seperti Zumba Challenge dan Pound Stick Fitness.

    Karnival ini turut menawarkan pelbagai pengisian mesra keluarga dengan lebih 150 reruai daripada jenama tempatan dan antarabangsa, lengkap dengan promosi eksklusif, pensampelan produk dan hadiah menarik. Antara tarikan utama termasuk Reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS) yang menampilkan pertandingan karaoke, aktiviti mewarna kanak-kanak serta Explorace Ejen Ali. Selain itu, Rumah Hantu Jom Heboh x Pewaris Susuk menjanjikan pengalaman seram yang mendebarkan, lengkap dengan sesi bertemu pelakon terkenal.

    Studio Jom Heboh pula memperkenalkan segmen baharu ‘Jom Cantik’ yang mengetengahkan aspek kecantikan, keyakinan dan ekspresi diri wanita secara inklusif, di samping inisiatif kelestarian melalui aktiviti kitar semula. Tidak ketinggalan, reruai New Straits Times Press (NSTP) menerusi Dunia Kreatif NSTP menawarkan pengalaman interaktif yang menggabungkan kreativiti, literasi media dan aktiviti kekeluargaan seperti seni kraf, photobooth muka depan akhbar dan pertandingan wartawan cilik.

    Kemuncak acara pastinya Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua malam berturut-turut, menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Dato’ Awie, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Shiha Zikir, Hael Husaini, Ara Johari dan Floor 88 yang bakal menghiburkan pengunjung dengan persembahan bertenaga. Selain itu, Love Food Fest turut menghimpunkan pelbagai vendor makanan viral dan tempatan, menjadikan karnival ini sebagai destinasi gaya hidup yang lengkap untuk semua.

    Dengan kehadiran purata lebih 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi, Karnival Jom Heboh terus mengekalkan reputasinya sebagai platform komuniti yang menyatukan masyarakat pelbagai lapisan. Edisi 2026 ini dijangka memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh dengan gabungan hiburan, gaya hidup dan perkhidmatan rakyat dalam satu acara berskala besar.

    Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026 di Stadium Negeri Batu Kawan dari 24 hingga 26 April ini dan merasai sendiri kemeriahan yang ditawarkan.