Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia) melalui Biro Profesional bakal menganjurkan majlis kemuncak Himpunan Gen MARA: Sesi Eksklusif Unplugged bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi pada 5 Mei 2026. Program berimpak tinggi yang dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) ini dianjurkan secara istimewa sempena Sambutan Ulang Tahun MARA yang ke-60. Majlis ini dijangka menghimpunkan ratusan tokoh teknokrat, pakar industri, dan usahawan profesional yang merupakan produk keberhasilan ekosistem MARA, merangkumi alumni MRSM, graduan institusi pendidikan MARA, serta penerima tajaan badan tersebut.

Naib Presiden ANSARA Malaysia merangkap Ketua Biro Profesional, Ts. Abdul Razak Abdul Khalid selaku Pengarah Program menjelaskan bahawa penganjuran ini merupakan langkah proaktif dalam menyatukan modal insan mahir yang telah dibentuk melalui pelaburan strategik MARA. Beliau menekankan bahawa Gen MARA adalah aset strategik negara yang memegang peranan kritikal dalam pelbagai sektor profesional, maka himpunan ini bertujuan mengukuhkan jaringan kepakaran kolektif demi kemajuan negara. Solidariti ini juga menzahirkan sokongan padu komuniti profesional di bawah naungan ANSARA terhadap usaha kerajaan dalam memperkasa ekosistem pendidikan dan keusahawanan Bumiputera.
Memilih format ‘Unplugged’, program ini menyediakan ruang kepada para profesional untuk berinteraksi secara terus dan santai dengan Timbalan Perdana Menteri bagi membincangkan agenda nasional. Majlis ini turut menyaksikan pelancaran Skuad ANSARA, iaitu badan sukarelawan rasmi yang berperanan sebagai tunjang sokongan utama dalam menggerakkan program kemanusiaan, teknikal, dan operasi persatuan. Selain itu, pra-pelancaran Karnival Sukan ANSARA 2027 juga akan diadakan sebagai manifestasi awal ke arah temasya dwi-tahunan yang bertujuan menyatukan ribuan alumni merentas generasi serta memperkukuh ukhuwah melalui gaya hidup sihat.

Sebagai organisasi yang menaungi ratusan ribu alumni, ANSARA Malaysia komited memastikan graduan MARA tidak bergerak secara silo dengan bertindak sebagai saluran strategik bagi golongan pakar memberikan input kepada kepimpinan negara. Ts. Abdul Razak menambah bahawa ANSARA mahu membuktikan pelaburan kerajaan melalui MARA telah membuahkan hasil yang lestari dan mereka sedia berkhidmat sebagai rakan strategik kerajaan. Melalui inisiatif ini, ekosistem MARA diharapkan terus diperkukuh bagi menghadapi cabaran masa hadapan demi membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang.
Orang ramai dan ahli profesional yang berminat dijemput hadir memandangkan tiket masuk bagi program ini adalah PERCUMA. Bagi memastikan penyelarasan tempat duduk, para peserta diminta untuk melakukan RSVP segera melalui pautan bit.ly/rsvpunpluggedtpm. Selain itu, pendaftaran manual secara berkumpulan juga disediakan melalui pautan bit.ly/borangdaftar-unpluggedtpm yang perlu diemelkan semula kepada pihak sekretariat di sekretariat@myansara.org.















