MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

Tarung: Unforgiven” Papar Realiti Kehidupan, Gelanggang Sebenar Bukan Sekadar Pertarungan

8 min read

Filem aksi paling dinantikan tahun ini, TARUNG: Unforgiven yang bakal ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026, hadir sebagai sebuah karya sinematik memukau yang mengangkat naratif berani tentang kehidupan sebagai ‘gelanggang’ sebenar. Filem ini diarahkan oleh sutradara box office, Razaisyam Rashid dan diterbitkan oleh ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw.

Mengangkat tagline “kau cuma ayam sabung”, TARUNG: Unforgiven menampilkan kisah perjuangan, penebusan dan pilihan hidup. Hatta, seorang bekas juara silat, diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi hitam. Demi menyelamatkan kakaknya, dia menerima tawaran daripada Paduka Badrul untuk memasuki gelanggang pertarungan haram. Namun, Hatta tidak menyedari bahawa lawan yang menantinya ialah Isa, sahabat lama yang kini menjadi musuh akibat dendam yang tidak pernah terpadam.

Selain jalan cerita yang sarat dengan emosi dan debaran hasil tulisan Amar Amir dan Razaisyam Rashid, kemunculan barisan pelakon berkaliber menjadi antara kekuatan utama filem ini. Mierul Aiman tampil sebagai bintang utama dengan membawa tenaga baharu dalam sebuah naskhah aksi berskala besar, manakala Aedy Ashraf pula mengukuhkan versatiliti lakonannya menerusi watak yang lebih kompleks dan matang.

Bintang bertaraf antarabangsa, Bront Palarae sekali lagi membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri. Lebih mencuri perhatian, Bront buat pertama kalinya digandingkan dengan Zul Ariffin, sekali gus menjadikan kombinasi dua nama besar ini antara elemen paling dinantikan penonton. Pertembungan dua pelakon hebat tersebut dijangka menghadirkan intensiti persembahan yang cukup mantap di layar perak.

Turut membintangi filem ini ialah Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel, Razib Salimin, Shaharuddin Thamby, Wak Ruzaidi, Theebaan G, Akmal Asyraf serta petarung sebenar, Jai JMT dan Ijam Asri yang masing-masing menyumbang kekuatan tersendiri dalam menjadikan filem ini lebih berimpak dan penuh momen menarik.

Pengarah dan penulis skrip TARUNG: Unforgiven yang juga merangkap Penerbit Eksekutif, Razaisyam Rashid berkata, filem terbaharu terbitan Alpha 47 itu membawa makna besar buat dirinya dan seluruh pasukan produksi. Menurutnya, perjalanan menghasilkan filem ini bukan sesuatu yang mudah, namun mereka berusaha memberikan yang terbaik dari segi jalan cerita, lakonan, aksi dan emosi agar dapat dinikmati oleh semua penonton. Tambah beliau, penggunaan teknologi bunyi Dolby Atmos turut memberikan pengalaman sinematik yang lebih epik dan imersif.

Beliau turut menjelaskan bahawa tagline “kau cuma ayam sabung” bukan sekadar merujuk kepada pertarungan di gelanggang, tetapi juga simbolik kepada kehidupan sebenar, di mana setiap individu mempunyai perjuangan tersendiri sama ada melawan masa lalu, tekanan hidup mahupun pilihan yang perlu dibuat. Katanya lagi, kejayaan filem ini merupakan hasil usaha bersama seluruh kru produksi, para pelakon dan semua pihak yang terlibat. Mereka berharap TARUNG: Unforgiven dapat diterima baik oleh penonton serta menjadi langkah bermakna buat Alpha 47 untuk terus menghasilkan lebih banyak karya tempatan berkualiti pada masa hadapan.

Penerbit Eksekutif dan pelakon filem ini, Aedy Ashraf pula menyifatkan penglibatannya sebagai penerbit buat kali pertama sebagai satu tanggungjawab besar. Menurutnya, TARUNG: Unforgiven merupakan projek yang sangat dekat di hatinya, bukan sahaja sebagai pelakon tetapi juga sebagai individu yang diberi kepercayaan untuk bersama-sama membawa karya tersebut kepada penonton. Beliau berkata, dirinya cuba memberikan komitmen terbaik dari segi lakonan dan keseluruhan perjalanan filem ini, manakala selebihnya diserahkan kepada penonton untuk menilai sendiri mesej yang cuba disampaikan. Harapannya agar filem ini diterima sebagai sebuah karya tempatan yang berani, matang dan dekat dengan perjuangan hidup setiap manusia.

Selain jalan cerita dan aksi yang mendebarkan, TARUNG: Unforgiven turut menampilkan dua runut bunyi eksklusif. Lagu berjudul “Test” dibawakan oleh trio muda Distorted yang dianggotai SINO, BALO dan ENEYEQAY, manakala Noh Salleh pula tampil dengan lagu “Terbang” yang dijangka menjadi satu lagi karya hit.

Barisan pelakon TARUNG: Unforgiven juga bakal menemui peminat menerusi siri jelajah promosi yang bermula pada 8 Mei. Jelajah tersebut akan merangkumi beberapa lokasi terpilih di Lembah Klang pada 9 dan 10 Mei, diikuti Zon Selatan pada 15, 16 dan 17 Mei, Zon Utara pada 22, 23 dan 24 Mei serta Pantai Timur pada 29, 30 dan 31 Mei.

Filem ini turut menampilkan kolaborasi bersama Kunafa Aiwahhh sebagai Rakan Kunafa Rasmi dengan memperkenalkan edisi terhad Kunafa Tarung. Diilhamkan daripada semangat pertarungan dalam filem ini, edisi khas tersebut menggabungkan kunafa rangup bersama lapisan keju leleh dan sambal daging pedas. Selain itu, Nuhae selaku Rakan Kesejahteraan Rasmi turut membantu memperluaskan capaian promosi kepada penonton sasaran menerusi pelaksanaan kempen video komersial.

Saksikan TARUNG: Unforgiven di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026. Tiket awal sudah mula dijual di semua pawagam bermula 3 Mei. Ikuti perkembangan terkini serta klip-klip menarik filem ini menerusi semua platform digital Alpha 47, Icon Pictures dan Astro Shaw, serta gunakan tanda pagar #TarungUnforgiven untuk berkongsi keterujaan anda terhadap filem ini.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.