Aura magis sedang menghampiri Mega Star Arena apabila Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025, menyatukan empat nama unggul dalam industri seni suara tanah air – Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel – dalam sebuah persembahan berskala besar yang dijangka melakar sejarah baharu dunia hiburan tempatan.
Sambutan luar biasa sejak tiket mula dijual pada 25 April 2025 membuktikan betapa kuatnya sokongan peminat – dengan hanya 15% tiket kategori VIP dan Diamond masih berbaki. Persembahan ini bukan sahaja simbolik terhadap perjalanan seni mereka, malah juga lambang cinta dan penghargaan terhadap peminat yang tidak pernah berhenti menyokong.
Konsert yang dianjurkan oleh Anuar Zain Network bersama Altus ProHouse ini bakal diarahkan oleh tokoh berpengalaman Jennifer Thompson, manakala Sze Wan diberi kepercayaan sebagai Pengarah Muzik. Menurut Sze Wan, gabungan empat vokalis berkarisma dari generasi berbeza ini memberi cabaran tersendiri dalam menyusun persembahan muzik balada Malaysia yang merentasi empat dekad.
Jennifer pula menggambarkan projek ini seperti mimpi yang menjadi nyata setelah tiga tahun perancangan rapi. “Mereka bukan sekadar penyanyi, tapi penghibur tulen dengan gaya tersendiri. Konsert ini penuh detik eksklusif yang tak akan dapat dilihat di pentas lain,” ujarnya penuh teruja.

Anuar Zain, antara penggerak utama konsert ini, menyeru peminat untuk hadir dan sama-sama mencipta kenangan. “Kami bukan hanya akan menyanyi, tapi akan ‘bercinta’ dengan penonton dalam bentuk hiburan yang menyentuh hati,” jelas Anuar yang kini sedang giat berlatih secara fizikal dan mental.
Ziana Zain turut menyifatkan konsert ini sebagai satu fenomena buat industri dan hadiah paling ikhlas buat peminat. “Saya harap malam itu jadi kenangan terbaik untuk semua. Ada lagu-lagu lama yang dah lama saya tak nyanyi akan kembali,” katanya.
Pasangan selebriti berbakat, Ernie Zakri dan Syamel, masing-masing mengakui peluang berkongsi pentas dengan idola mereka merupakan detik paling istimewa dalam kerjaya mereka. Syamel menyatakan, “Peminat bukan sekadar penonton – merekalah nadi kami. Persembahan ini bukan hanya nyanyian, tapi perkongsian kasih dan perjalanan seni kami.”

Empat Live turut menerima sokongan rasmi daripada The Westin Kuala Lumpur selaku penaja hotel. Pengurus Besarnya, Daniel Burstein, menyatakan keterujaan menyambut para artis dan peminat dalam suasana hospitaliti bertaraf antarabangsa.
Tiket konsert boleh didapati di www.ticket2u.com.my/empatkl dengan harga bermula dari RM888 (Diamond) dan RM1,088 (VIP). Kaedah pembayaran termasuk opsyen Buy Now Pay Later seperti Atome dan SPayLater.
Empat suara, satu malam penuh magis. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah yang tidak akan berulang ini. Jumpa anda di Empat Live In Kuala Lumpur 2025, 18 Oktober nanti!
