
Dua suara luar biasa dari Malaysia dan Indonesia, Ernie Zakri dan Anggi Marito, bersatu dalam sebuah kolaborasi istimewa menerusi single terbaru berjudul “Kisah Penuh Kecewa”. Lagu power ballad ini lahir hasil ciptaan bersama Clara Riva, Ernie Zakri, Anggi Marito dan S/EEK, membawa kisah luka hati akibat cinta yang tidak kesampaian, namun sarat dengan mesej kekuatan dan ketabahan.
Menggabungkan kekuatan vokal serta emosi mendalam kedua-dua penyanyi berbakat ini, lagu tersebut menyasarkan untuk menyentuh hati pendengar di Malaysia dan Indonesia, serta peminat muzik serantau yang menghargai karya bernuansa emosi dan berjiwa.
Ernie Zakri, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39), berkongsi bahawa lagu ini mengisahkan tentang cinta yang berakhir bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana salah satu pihak sudah memilih untuk berpisah. Namun, di sebalik kekecewaan itu, terdapat kekuatan untuk terus melangkah maju.
“Lagu ‘Kisah Penuh Kecewa’ ini adalah sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu meneruskan hubungan. Tapi di penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan yang mana lelaki atau wanita itu tetap tabah untuk menghadapi segala cabaran,” kata Ernie.
Proses rakaman lagu ini juga memberikan pengalaman berharga kepada Ernie apabila beliau merantau ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama Anggi dan pasukan produksi.
“Rakaman berjalan lancar walaupun kami menghadapi cabaran bulan Ramadan, di mana kami tidak boleh minum air semasa rakaman. Namun, semuanya berjaya diharungi dengan baik,” tambah Ernie.
Ernie turut meluahkan rasa bangga dapat bekerjasama dengan tenaga kreatif hebat seperti Clara Riva (penulis lagu), S/EEK (penerbit muzik), dan IRVNAT selaku pengarah vokal.
“Saya sangat berbesar hati dapat bekerja dengan Anggi, yang saya anggap sebagai salah seorang penyanyi muda terbaik dari Indonesia. Projek ini sangat bermakna dalam kerjaya saya tahun ini,” katanya.
Menurut Ernie, walaupun berlainan latar belakang negara, kolaborasi ini membuktikan muzik tiada sempadan. Lagu ini direka agar mudah difahami dan mampu menjadi peneman bagi pendengar yang pernah mengalami kekecewaan cinta.
“Saya harap pendengar dapat menikmati lagu ini dan mengambil kekuatan daripadanya,” ujarnya lagi.
Bagi Anggi Marito, pemenang tempat ketiga Indonesian Idol musim 11, peluang berkolaborasi dengan Ernie adalah satu penghormatan besar.
“Saya sudah lama mengenali dan mengagumi suara indah Ernie. Tenaganya sangat hebat dan dapat menyampaikan rasa dengan sangat mendalam. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerjasama dengannya,” kata Anggi.
Proses penulisan lagu berjalan dengan lancar, di mana keserasian vokal Ernie dan Anggi akhirnya membawa mereka menghasilkan sebuah power ballad penuh emosi.
“Penulisan lagu hanya mengambil masa beberapa jam. Kami mengambil kira karakter suara masing-masing, dan susunan muzik oleh S/EEK melengkapkan karya ini menjadi sangat istimewa,” jelas Anggi.
Dengan mesej yang jujur dan melodi menyentuh, Ernie dan Anggi berharap “Kisah Penuh Kecewa” dapat diterima baik oleh pencinta muzik di kedua-dua negara serta memberi kekuatan kepada mereka yang melalui kekecewaan cinta.
“Kisah Penuh Kecewa” bukan sekadar lagu duet biasa. Ia adalah gabungan dua jiwa seni yang menyampaikan kisah tentang patah hati, kejujuran dalam mencintai, dan perjuangan untuk melepaskan,” kata Ernie.
Lagu ini kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 23 Mei 2025. Video muzik rasmi turut dilancarkan untuk membawa naratif visual yang seiring dengan kekuatan vokal kedua-dua penyanyi.
Sebagai tambahan istimewa, Anggi Marito akan membuat penampilan khas di Aura: Ernie Zakri Live in Concert pada 31 Mei 2025 di The Theatre, Mediacorp, Singapura. Konsert ini menjanjikan persembahan penuh emosi daripada dua penyanyi hebat Asia Tenggara dalam satu malam yang tidak boleh dilepaskan.