FAIZAL HUSSEIN KEMBALI MENGGUGAH EMOSI DALAM “BABY PAPA” – MENCARI IBU DEMI IMPIAN PUTERI TERSAYANG

Seorang ayah, seorang anak, dan sebuah misi yang menyatukan hati. Drama terbaharu terbitan Sha’s Media Sdn Bhd berjudul “Baby Papa” bersedia menyentuh sanubari penonton menerusi kisah penuh kasih, harapan dan pengorbanan seorang bapa demi anaknya yang tersayang.

Menampilkan pelakon legenda Faizal Hussein bergandingan dengan bintang cilik berbakat Kirana Batrisyia, “Baby Papa” mengangkat kisah luar biasa seorang anak kecil bernama Alisha, yang dalam kepolosannya menyimpan tekad untuk mencari ibunya. Disokong barisan pelakon hebat seperti Emelda Rosmila, Fauziah Nawi dan ramai lagi, drama ini bakal mengisi slot Samarinda TV3 bermula 12 Jun 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam.

Alisha, seorang kanak-kanak pintar dan berhati mulia, tinggal bersama ayahnya Didie (lakonan Faizal Hussein), seorang bapa tunggal yang cekal membesarkannya, dan neneknya (Fauziah Nawi). Namun setelah kehilangan nenek tercinta dan Didie pula dilanda kemurungan, Alisha mengajak ayahnya memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur – dalam misi mencari ibunya, Rosie (Emelda Rosmila), demi memenuhi amanah terakhir arwah nenek.

Sepanjang perjalanan yang penuh cabaran, sifat empati Alisha yang suka membantu orang lain sering membawa mereka ke pelbagai situasi tak dijangka. Setibanya di kota besar, mereka mendapati Rosie sudah tiada di alamat lama. Apakah yang menanti mereka seterusnya? Adakah Alisha akan terus tabah mengejar impiannya?

“Baby Papa” bukan sekadar drama keluarga biasa. Ia adalah kisah tentang kasih sejati, semangat juang seorang anak, dan cinta tanpa syarat seorang ayah – yang sanggup mengorbankan segalanya demi kebahagiaan puterinya.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan 20 episod menyentuh hati yang akan membawa anda menelusuri makna kekeluargaan sebenar – hanya di TV3 menerusi slot Samarinda mulai minggu hadapan.

Untuk perkembangan terkini dan klip eksklusif “Baby Papa”, ikuti platform media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok menerusi @TV3Malaysia, serta saluran @dramasangat di Instagram.