Penangan Hafidz Roshdi? “Cinta Kedua” Catat Lonjakan Lebih 40% Dalam Jumlah Penstriman!

Drama bersiri “Cinta Kedua” terus mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya merekodkan lonjakan lebih 40 peratus jumlah penstriman serta peningkatan lebih 50 peratus masa tontonan (watch time) pada minggu kedua tayangan berbanding minggu pertama. Prestasi memberangsangkan itu sekali gus meletakkan drama tersebut sebagai antara tiga siri paling banyak distrim di platform Tonton sejak mula ditayangkan pada 20 April lalu. Momentum tontonan yang semakin meningkat dari minggu ke minggu membuktikan naskhah ini berjaya menambat hati penonton dengan jalan cerita penuh emosi dan konflik kekeluargaan yang dekat dengan realiti masyarakat.

Mengangkat kisah cinta, pengorbanan dan rahsia silam, “Cinta Kedua” membawa penonton menyelami perjalanan hidup Bella Ammara dan Daniel Rizki yang dipenuhi pelbagai dugaan. Dibintangi Hafidz Roshdi, Raden Zaharatul dan Syarul Ezani, drama 28 episod ini mengisahkan Ammara yang cuba membina semula kehidupannya selepas diceraikan dengan talak tiga sebelum dipertemukan semula dengan Rizki, lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya suatu ketika dahulu. Pertemuan yang berlaku tanpa diduga itu membuka kembali luka lama dan mengundang pelbagai persoalan tentang takdir, kepercayaan serta peluang kedua dalam cinta.

Memasuki separuh kedua tayangan, “Cinta Kedua” kini tampil dengan perkembangan plot yang lebih mendebarkan dan emosional. Penonton semakin tertarik untuk mengetahui sama ada Ammara mampu membuka kembali pintu hatinya untuk Rizki ataupun rahsia yang masih tersembunyi bakal memusnahkan hubungan mereka sebelum sempat disatukan semula. Jalan cerita yang sarat dengan konflik emosi dan elemen kejutan menjadi antara faktor utama drama ini terus menjadi bualan ramai di media sosial.

“Cinta Kedua” bersiaran secara eksklusif di Tonton setiap Isnin hingga Jumaat, jam 12 tengah malam. Dengan sambutan luar biasa yang diterima setakat ini, drama tersebut dilihat berpotensi menjadi antara karya tempatan paling sukses tahun ini dalam platform penstriman digital.