PELUANG ISTIMEWA BERTEMU BINTANG UTAMA DRAMA TV3 SECARA LEBIH DEKAT

Written by

in

,

TV3 bakal memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan penganjuran siri meet & greet eksklusif bersama barisan pelakon popular serta penulis novel kegemaran peminat. Inisiatif ini menjadikan PBAKL2026 bukan sekadar acara pameran buku, tetapi juga sebuah platform interaktif yang menghubungkan dunia penulisan dan industri drama televisyen dalam suasana yang lebih dekat dan mesra peminat.

Sepanjang acara berlangsung, pengunjung berpeluang bertemu secara lebih dekat dengan pelakon, penulis dan pencipta kandungan yang terlibat dalam pelbagai drama TV3, selain menikmati sesi bergambar, autograf serta interaksi santai bersama selebriti pilihan. Pengalaman ini turut memberi ruang kepada peminat untuk mengenali karya-karya baharu yang bakal menghiasi slot drama TV3 pada masa akan datang.

Pada 30 Mei, sesi khas akan menampilkan barisan pelakon drama Akasia “Yes! Captain Zul Aaryan” yang akan bersiaran pada Julai, antaranya Jazmy Juma, Anna Jobling, Nafiz Muaz, Daniel Fong dan Natasha Sass. Mereka akan berada di Booth Drama Sangat, Legar Putra, Tingkat 2, selain membuat penampilan di Pentas Utama. Turut mencuri perhatian ialah kehadiran penulis novel asal, Wnfhanna, yang akan berada di booth sepanjang 30 Mei hingga 1 Jun. Novel tersebut sebelum ini mencatat lebih 2.48 juta bacaan di Wattpad sebelum diadaptasi ke drama bersiri.

Sementara itu pada 31 Mei, giliran pelakon drama “Lestary Anom Suraya” pula akan menemui peminat menerusi sesi meet & greet khas yang menampilkan Daiyan Trisha, Idris Khan dan Yusuf Bahrin. Sesi ini akan berlangsung di booth pada sebelah petang sebelum mereka membuat penampilan di Pentas Utama pada waktu malam. Kehadiran penulis novel asal, Dr. Samsiah Mohd Nor, yang juga ibu kepada Daiyan Trisha, turut menambah nilai istimewa kepada acara tersebut.

Selain dua drama utama tersebut, Booth Drama Sangat di PBAKL2026 turut menampilkan pelbagai barisan pelakon daripada drama lain termasuk Fathi Gabrielle, Jiwa Seorang Pentaksub, Neraka Yang Terhijab, serta drama mikro baharu Offside Husband. Kehadiran wajah-wajah popular ini dijangka menarik perhatian pengunjung yang ingin merasai pengalaman lebih dekat dengan dunia hiburan televisyen.

Dengan gabungan dunia novel, drama dan interaksi peminat yang lebih intim, PBAKL2026 dilihat sebagai platform unik yang mempertemukan pencipta karya dan penonton dalam satu ruang budaya yang meriah. Acara ini bukan sahaja meraikan karya kreatif, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara industri hiburan dan komuniti pembaca di Malaysia.