Dua lagu tersembunyi dari runut bunyi Ejen Ali The Movie 2 kini mula mencuri perhatian ramai peminat, sekali gus mencatat peningkatan dalam carta penstriman muzik tempatan. Dengan aura sinematik yang tersendiri, kedua-dua lagu ini membawa elemen emosi, nostalgia dan kematangan muzik yang jarang ditemui dalam produksi tempatan arus perdana.
Lagu pertama berjudul Some Other Day menampilkan penyanyi muda berbakat, FUGO, hasil ciptaan Hakim Kamal bersama Kayrol Ami, Fai HK dan Rezavebrian. Lagu ini menyerlahkan tema persahabatan yang menjadi nadi filem, dengan susunan melodi yang santai dan penuh sentimen. Gabungan lirik dwibahasa dan chorus yang menyentuh perasaan mencipta momen reflektif yang kuat buat para pendengar.

Manakala lagu kedua, Hanya Kamu – Omar K & Raja Recode, merupakan versi rekaan semula dari lagu asal dendangan Dato’ M. Nasir. Disampaikan semula oleh Puteri Khareeza dan Kai Deva, versi ini memberi nafas segar dengan gabungan vokal lembut dan susunan chill out yang membuai rasa. Lagu ini turut menampilkan hasil kreativiti Omar K dan Raja Syafiq yang berjaya menyuntik elemen moden ke dalam melodi klasik yang digemari ramai.
Kedua-dua lagu ini bukan sahaja menguatkan lagi naratif emosi dalam Ejen Ali The Movie 2, malah turut membuka ruang kepada bakat baharu untuk menyerlah dalam industri hiburan. Inisiatif kolaboratif ini turut memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam penghasilan muzik animasi bertaraf antarabangsa.
Strim lagu Some Other Day dan Hanya Kamu – Omar K & Raja Recode sekarang di semua platform digital, dan saksikan bagaimana muzik terus memainkan peranan penting dalam dunia sinematik Ejen Ali.
Ejen Ali The Movie 2 masih ditayangkan di pawagam seluruh negara – ayuh sokong karya tempatan dan alami keajaiban misi terbaru Ali bersama rakan-rakannya!