Dato’ Aishah Bangkitkan Nostalgia Melalui ‘Taman Keabadian
5 min read
Dato’ Aishah, nama yang tidak asing lagi dalam dunia muzik tanah air, kembali dengan buah tangan terbaharu yang cukup menyentuh jiwa. Selepas hampir empat dekad mengabdikan diri dalam dunia seni dan membina legasi yang tiada tolok bandingnya, penyanyi bersuara emas ini menghadiahkan peminat sebuah lagu balada berjudul Taman Keabadian – sebuah karya ciptaan Senna yang sarat emosi, penghayatan, dan spiritual.
Taman Keabadian bukan sekadar sebuah lagu. Ia hadir sebagai manifestasi kasih sayang dan penghargaan Dato’ Aishah kepada peminat yang sentiasa merindui karya terbarunya. Lagu ini menyentuh tema kehilangan insan tercinta sama ada ahli keluarga, sahabat, mahupun teman seperjuangan dan bagaimana kenangan terhadap mereka kekal abadi dalam jiwa. Dengan suara yang menyulam rasa dan lirik yang menyentuh kalbu, Taman Keabadian membawa pendengar menyusuri lorong kerinduan yang dalam, namun disulami harapan akan pertemuan semula di alam abadi.
Menurut Dato’ Aishah, lagu ini adalah dedikasi buat semua yang sedang menanggung rindu kepada insan-insan yang telah pergi mendahului. Ia adalah doa dan pengubat luka yang mengajak pendengar untuk percaya bahawa perpisahan di dunia hanyalah sementara. “Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negara abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati. Berdoalah dan yakinlah kerana kita juga pasti menyusul dan bertemu semula di sana… di sebuah tempat dinamakan Taman Keabadian,” luah beliau dengan penuh tulus.
Bagi Senna selaku komposer, Taman Keabadian adalah sebuah karya yang amat peribadi. Proses penciptaannya ditujukan secara eksklusif buat Dato’ Aishah kerana beliau percaya hanya penyanyi ikonik ini mampu menghidupkan roh lagu tersebut. “Ia bukan lagu yang boleh disampaikan secara teknikal semata-mata. Ia memerlukan penyampaian yang datang dari jiwa, dan Dato’ Aishah mempunyai keistimewaan itu. Beliau menyanyi dengan hati,” ujar Senna.

Dato’ Aishah turut berharap agar lagu ini mampu memberi kekuatan kepada pendengar yang sedang melalui episod kehilangan. Bagi beliau, Taman Keabadian bukan sekadar sebuah lagu baharu, tetapi adalah hadiah istimewa satu pelukan halus dari seorang penyanyi kepada mereka yang sedang merindui. “Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pun pergi ke negara abadi. Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat,” katanya.
Sebagai figura seni yang telah menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa sejak era 1980-an melalui kumpulan Aishah & The Fan Club, Dato’ Aishah terus unggul sebagai penyanyi solo dengan deretan lagu ikonik seperti Janji Manismu, Cinta Beralih Arah, dan Kemaafan Dendam Yang Terindah. Bakat dan pencapaiannya turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah berprestij termasuk Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik, selain menerima gelaran “Dato’” atas sumbangannya dalam bidang seni.
Kini, beliau terus memperkukuh legasinya bukan sahaja melalui karya-karya baharu, tetapi juga dengan pendekatan moden aktif berinteraksi bersama peminat di Instagram dan TikTok menerusi akaun @aishahjmm, selain mempersembahkan semula lagu-lagu klasiknya dalam versi remastered.
Single Taman Keabadian akan menemui pendengar di semua platform penstriman digital bermula 8 Ogos 2025 – satu karya yang dijangka akan mencuri hati generasi baharu sambil terus memelihara keindahan seni muzik balada Melayu yang tulen.