ALPHA Bukti Kehebatan, Tembus Pencalonan Music Awards Japan 2026
3 min read
Kumpulan M-pop popular, ALPHA, terus mengukuhkan dominasi mereka apabila berjaya menembusi pencalonan kategori “Best of Listeners’ Choice: International Song” di anugerah berprestij Music Awards Japan 2026. Pencapaian ini meletakkan kumpulan di bawah naungan Rocketfuel Entertainment tersebut di satu tahap yang amat membanggakan, memandangkan mereka merupakan satu-satunya wakil tunggal Malaysia yang tersenarai sebaris dengan bintang global seperti Taylor Swift, Justin Bieber, Blackpink, dan SEVENTEEN.
Kejayaan ini disandarkan kepada fenomena lagu “P Ramlee Saloma” yang bukan sahaja memenangi hati pendengar tempatan, malah mencatat sejarah sebagai lagu pertama ciptaan rakyat Malaysia yang berjaya mara ke peringkat akhir anugerah di Jepun itu. Dengan rekod penstriman melebihi 60 juta dan pernah mendahului carta Spotify Malaysia selama 30 hari berturut-turut, ALPHA yang dianggotai oleh Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Araff, Ray-D, dan Afiq Sky membuktikan bahawa kualiti M-pop kini setanding dengan standard industri muzik antarabangsa.
Menurut ahli kumpulan, Daniel Sher dan Rizal Rasid, pencalonan ini merupakan satu tanggungjawab besar bagi mereka untuk terus membawa identiti Malaysia ke peringkat dunia. Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Anand, turut menyifatkan pengiktirafan ini sebagai bukti kerja keras dan visi seni yang konsisten mampu membuahkan hasil di luar jangkaan.
Sebagai pemanas amalan sebelum album sulung mereka dilancarkan pada 15 Jun depan, pencalonan ini dilihat sebagai batu lonjakan terbaik buat ALPHA.
Peluang untuk melihat ALPHA membawa pulang trofi kini terletak di tangan peminat melalui undian awam yang dibuka sehingga 20 Mei 2026 di laman web rasmi Music Awards Japan. Dengan momentum yang sedang memuncak, ALPHA kini bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah menjadi inspirasi buat penggiat seni tempatan untuk terus bermimpi besar dalam mengejar pengiktirafan di persada global.