Tag: #BaladaEmosi

  • Menerusi single terbaharu “Tolong”, Irfan Haris memperlihatkan sisi emosinya yang lebih mendalam.

    Menerusi single terbaharu “Tolong”, Irfan Haris memperlihatkan sisi emosinya yang lebih mendalam.

    Sebagai pembuka tirai tahun 2026, penyanyi muda berpengalaman Irfan Haris tampil dengan sebuah karya yang sarat emosi dan kejujuran menerusi single terbaharunya berjudul “Tolong”. Lagu ini bukan sekadar sebuah balada cinta, sebaliknya menjadi luahan jiwa tentang perasaan bergantung, ketakutan kehilangan serta keberanian untuk merendahkan ego demi insan tersayang. Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, “Tolong” menandakan satu fasa kematangan Irfan sebagai seorang penyanyi yang kini lebih yakin menyampaikan emosi secara jujur dan bersahaja, tanpa perlu bergantung kepada sensasi atau elemen teknikal berlebihan.

    Selepas kejayaan “Rasa & Takdir”, duet istimewa bersama kakaknya Amira Othman yang mencatat hampir empat juta tontonan di YouTube, Irfan memilih haluan berbeza dengan “Tolong”. Lagu ini dibina dalam ruang yang lebih tenang dan reflektif, membenarkan emosi bernafas dan perasaan dizahirkan tanpa berselindung. Susunan muzik yang kemas oleh Wan Saleh serta melodi dan lirik hasil ciptaan Dr. Syafiq Rashid menjadikan karya ini sederhana dari segi persembahan, namun mendalam dari segi makna dan mesej.

    Menurut Irfan, “Tolong” merupakan antara lagu paling dekat dengan hatinya kerana ia mencerminkan perasaan sebenar yang pernah dilalui. Beliau memilih untuk membiarkan emosi memimpin penyampaian, berbanding mengejar vokal tinggi atau teknik yang berlebihan. Pendekatan ini menyerlahkan kematangan seorang penyanyi yang memahami bahawa emosi yang sampai ke hati pendengar adalah jauh lebih bernilai daripada sekadar kekuatan vokal.

    Dari sudut penulisan, perkataan “Tolong” dipilih sebagai nadi utama lagu kerana sifatnya yang sangat manusiawi, melambangkan rayuan, pengharapan dan kebergantungan. Lagu ini bergerak di antara dua emosi yang sering wujud serentak dalam kehidupan, iaitu rasa bergantung dan rasa takut kehilangan. Ia bukan tentang kelemahan, tetapi keberanian untuk mengakui betapa pentingnya kehadiran seseorang dalam hidup kita. Inspirasi lagu ini juga diperkukuhkan dengan pengalaman sebenar berkaitan trauma kehilangan, yang dizahirkan melalui lirik sebagai satu luahan yang jujur dan tulus.

    Walaupun “Tolong” boleh ditafsirkan dalam pelbagai konteks hubungan, bagi Irfan sendiri, emosi lagu ini banyak terikat dengan kasih sayang terhadap keluarga, khususnya ibu dan bapanya. Perspektif ini membantu beliau menyampaikan lagu dengan lebih mendalam, menjadikan setiap baris lirik sebagai simbol cinta yang tidak bersyarat dan kekuatan utama dalam kehidupannya. Baris lirik “Jangan lepaskan walau cuma sedetik” menjadi cerminan perasaan tersebut, ringkas tetapi penuh makna.

    Sebagai langkah berani dalam kerjaya seninya, Irfan mengakui wujud tekanan untuk menentukan arah single terbaharu selepas kejayaan terdahulu. Namun, beliau memilih untuk tidak mengulang formula sama dan sebaliknya mempercayai naluri seni sendiri. “Tolong” hadir sebagai bukti kesediaannya untuk terus berkembang dan bereksperimen, sambil membawa mesej agar menghargai insan tersayang selagi mereka masih ada. Single ini kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube, sekali gus menandakan permulaan tahun 2026 yang bermakna dalam perjalanan seni Irfan Haris.

  • Valdy Nyonk Kembali Menyentuh Hati Peminat dengan “Gelas Yang Retak”

    Valdy Nyonk kembali mengetuk hati para pendengar dengan single terbarunya berjudul “Gelas Yang Retak”, sebuah balada sendu yang menggambarkan luka dan kekecewaan akibat pengkhianatan dalam percintaan. Dicipta dan ditulis oleh Tegar, lagu ini menampilkan lirik penuh emosi yang menyoroti betapa sukar memulihkan kepercayaan yang telah dihancurkan, disulam dengan melodi balada yang menyayat hati. Penyampaian Valdy yang penuh penghayatan menjadikan setiap bait lagu mudah dirasai oleh sesiapa sahaja yang pernah mengalami kekecewaan cinta.

    “Gelas Yang Retak” menceritakan kisah seseorang yang dikhianati oleh pasangan, hingga kehilangan kepercayaan dan kesukaran untuk menerima kembali cinta yang telah patah. Melalui vokal yang matang dan sarat emosi, Valdy membawa pendengar merasai setiap detik kesedihan, kepedihan dan kekecewaan dalam kisah lagu ini. Lagu ini menegaskan bahawa luka akibat pengkhianatan bukan mudah sembuh, dan kepercayaan yang pecah sukar kembali seperti sediakala.

    Menurut penulis lagu, Tegar, “Gelas Yang Retak” lahir daripada pengalaman realiti mengenai hilangnya kepercayaan dalam sebuah hubungan, yang kemudian dihidupkan oleh Valdy dengan ekspresi vokal penuh warna dan kedalaman emosi. Single ini dijangka menambah koleksi lagu-lagu emotif Valdy yang sering menjadi pilihan pendengar balada beremosi, dan bakal tersedia di semua platform digital streaming termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Joox mulai 28 November 2025. Lagu ini memberi peluang kepada peminat menyelami perjalanan emosi yang relatable dalam kisah cinta moden.

  • “Dendam” – Balada Penuh Emosi Firdaus Rahmat Tentang Luka dan Keinsafan

    “Dendam” – Balada Penuh Emosi Firdaus Rahmat Tentang Luka dan Keinsafan

    Penyanyi dan komposer berbakat Firdaus Rahmat kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya berjudul Dendam, sebuah balada sarat emosi yang menyentuh sisi kemanusiaan serta pergelutan antara marah, kecewa dan keikhlasan.

    Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Firdaus sendiri, daripada melodi hingga ke lirik, menjadikan Dendam sebuah karya yang amat peribadi dan dekat di hati. Dengan susunan muzik yang segar serta lirik yang mendalam, lagu ini mengajak pendengar menyelami makna dendam yang akhirnya terlerai melalui keinsafan dan penyerahan kepada Tuhan.

    Menurut Firdaus, Dendam membawa mesej tentang hakikat manusia yang mudah terperangkap dalam keinginan membalas perbuatan orang lain, namun akhirnya menyedari bahawa hanya Tuhan yang layak menentukan penghakiman sebenar.

    Berbeza daripada karya terdahulu, Dendam memperlihatkan sisi vokal Firdaus yang lebih matang dan berani bereksperimen. Beliau mengakui lagu ini mencabar dari segi lontaran serta teknik nyanyian, terutamanya untuk menyeimbangkan emosi dan ton suara agar mesej lagu dapat disampaikan dengan penuh penghayatan.

    Proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar dua minggu, manakala sesi rakaman yang berlangsung selama tiga jam menjadi satu pengalaman penuh intensiti bagi Firdaus. Beliau turut berkongsi bahawa dirinya sempat berehat seketika di pertengahan sesi rakaman kerana tekanan emosi yang tinggi, namun tetap meneruskan rakaman dengan tekad untuk menyampaikan lagu ini dengan jujur dan sepenuh hati.

    Dari segi penceritaan, Dendam mengangkat tema yang dekat dengan kehidupan masyarakat – pergelutan antara amarah dan keinsafan, keinginan untuk membalas namun akhirnya memilih untuk reda dan menyerah kepada keadilan Ilahi. Lagu ini bukan sekadar sebuah balada cinta, tetapi sebuah perjalanan jiwa dan renungan diri.

    Menerusi karya ini, Firdaus Rahmat membuktikan kebolehannya bukan sahaja sebagai penyanyi berbakat, tetapi juga sebagai komposer dan penulis lirik yang mampu menghasilkan karya matang, berjiwa dan penuh makna.

    Menariknya, Dendam turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi bagi drama Takdir Cinta Terlarang yang kini bersiaran di slot Akasia TV3. Lagu ini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify.

    Untuk maklumat lanjut mengenai perkembangan Firdaus Rahmat dan keluaran terkini daripada Alternate Records & Talents, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi mereka di Facebook, Instagram dan TikTok.

  • Syamel Bangkitkan Emosi Peminat Menerusi “Berakhir Kita”

    Syamel Bangkitkan Emosi Peminat Menerusi “Berakhir Kita”

    Setelah sekian lama menyepi dengan karya baharu, penyanyi bersuara emas, Syamel, kembali menyentuh jiwa peminat dengan sebuah balada penuh emosi berjudul “Berakhir Kita”. Lagu yang mengangkat tema cinta yang tidak kesampaian ini merupakan hasil ciptaan duo berbakat besar Shazriq Azeman dan Omar K, yang turut bertindak selaku penerbit.

    Mengisahkan kepedihan sebuah hubungan yang terhenti sebelum sempat mekar sepenuhnya, Berakhir Kita menggambarkan betapa pedihnya melihat impian cinta musnah di depan mata. Lirik dan melodi lagu ini memberi ruang buat pendengar untuk merasai setiap titis kecewa yang pernah dialami dalam hubungan cinta yang tidak berpenghujung.

    Menurut Syamel, kolaborasi bersama Omar K dan Shazriq bukan sahaja memberikan hasil yang menyentuh perasaan, malah turut menyuntik semangat baharu dalam proses kreatifnya.

    “Saya bersyukur kerana diberi kebebasan untuk menyampaikan lagu ini mengikut gaya nyanyian saya. Omar dan Shazriq sentiasa mencipta suasana positif dan menjadikan proses rakaman lebih santai, namun tetap bermakna,” ujar Syamel.

    Menariknya, lagu ini turut diperkukuh dengan elemen visual istimewa menerusi paparan video muzik yang digabungkan dengan sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Pendekatan ini dijangka memberikan kesan emosi yang lebih mendalam dan membantu audiens menghayati kisah yang disampaikan.

    “Lirik dan melodi lagu ini sudah cukup menyayat hati. Bila digabungkan pula dengan babak-babak dalam drama, saya percaya mesej lagu ini akan lebih mudah meresap ke jiwa,” tambahnya.

    Projek ini merupakan kerjasama antara Universal Music Malaysia, Maison Management, dan Global Keynote Sdn. Bhd., dengan sokongan padu dari semua pihak produksi. Syamel menyifatkan projek ini sebagai satu perjalanan seni yang penuh keikhlasan.

    “Saya sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat setiap individu memberikan kerjasama terbaik. Lagu ini lahir dari jiwa, dengan harapan agar ia benar-benar menyentuh hati pendengar,” katanya lagi.

    Dengan peluncuran rasmi pada 6 Ogos 2025, Berakhir Kita kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama. Lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga sebuah ruang untuk mereka yang pernah kecewa merawat luka yang mungkin belum sembuh.

  • Dato’ Aishah Bangkitkan Nostalgia Melalui ‘Taman Keabadian

    Dato’ Aishah Bangkitkan Nostalgia Melalui ‘Taman Keabadian

    Dato’ Aishah, nama yang tidak asing lagi dalam dunia muzik tanah air, kembali dengan buah tangan terbaharu yang cukup menyentuh jiwa. Selepas hampir empat dekad mengabdikan diri dalam dunia seni dan membina legasi yang tiada tolok bandingnya, penyanyi bersuara emas ini menghadiahkan peminat sebuah lagu balada berjudul Taman Keabadian – sebuah karya ciptaan Senna yang sarat emosi, penghayatan, dan spiritual.

    Taman Keabadian bukan sekadar sebuah lagu. Ia hadir sebagai manifestasi kasih sayang dan penghargaan Dato’ Aishah kepada peminat yang sentiasa merindui karya terbarunya. Lagu ini menyentuh tema kehilangan insan tercinta sama ada ahli keluarga, sahabat, mahupun teman seperjuangan dan bagaimana kenangan terhadap mereka kekal abadi dalam jiwa. Dengan suara yang menyulam rasa dan lirik yang menyentuh kalbu, Taman Keabadian membawa pendengar menyusuri lorong kerinduan yang dalam, namun disulami harapan akan pertemuan semula di alam abadi.

    Menurut Dato’ Aishah, lagu ini adalah dedikasi buat semua yang sedang menanggung rindu kepada insan-insan yang telah pergi mendahului. Ia adalah doa dan pengubat luka yang mengajak pendengar untuk percaya bahawa perpisahan di dunia hanyalah sementara. “Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negara abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati. Berdoalah dan yakinlah kerana kita juga pasti menyusul dan bertemu semula di sana… di sebuah tempat dinamakan Taman Keabadian,” luah beliau dengan penuh tulus.

    Bagi Senna selaku komposer, Taman Keabadian adalah sebuah karya yang amat peribadi. Proses penciptaannya ditujukan secara eksklusif buat Dato’ Aishah kerana beliau percaya hanya penyanyi ikonik ini mampu menghidupkan roh lagu tersebut. “Ia bukan lagu yang boleh disampaikan secara teknikal semata-mata. Ia memerlukan penyampaian yang datang dari jiwa, dan Dato’ Aishah mempunyai keistimewaan itu. Beliau menyanyi dengan hati,” ujar Senna.

    Dato’ Aishah turut berharap agar lagu ini mampu memberi kekuatan kepada pendengar yang sedang melalui episod kehilangan. Bagi beliau, Taman Keabadian bukan sekadar sebuah lagu baharu, tetapi adalah hadiah istimewa satu pelukan halus dari seorang penyanyi kepada mereka yang sedang merindui. “Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pun pergi ke negara abadi. Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat,” katanya.

    Sebagai figura seni yang telah menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa sejak era 1980-an melalui kumpulan Aishah & The Fan Club, Dato’ Aishah terus unggul sebagai penyanyi solo dengan deretan lagu ikonik seperti Janji Manismu, Cinta Beralih Arah, dan Kemaafan Dendam Yang Terindah. Bakat dan pencapaiannya turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah berprestij termasuk Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik, selain menerima gelaran “Dato’” atas sumbangannya dalam bidang seni.

    Kini, beliau terus memperkukuh legasinya bukan sahaja melalui karya-karya baharu, tetapi juga dengan pendekatan moden aktif berinteraksi bersama peminat di Instagram dan TikTok menerusi akaun @aishahjmm, selain mempersembahkan semula lagu-lagu klasiknya dalam versi remastered.

    Single Taman Keabadian akan menemui pendengar di semua platform penstriman digital bermula 8 Ogos 2025 – satu karya yang dijangka akan mencuri hati generasi baharu sambil terus memelihara keindahan seni muzik balada Melayu yang tulen.