Aurelia Syaharani Tampil dengan Single Debut“Mungkin Hanya Kamu” – Sebuah Kisah Cinta Remaja Sarat Emosi

Universal Music Indonesia dengan bangga mempersembahkan bintang muda yang sedang bersinar, Aurelia Syaharani, menerusi single debutnya berjudul “Mungkin Hanya Kamu.” Nama baharu dalam industri, tetapi suara dan bakatnya dijangka bakal mencipta impak besar di pentas muzik Indonesia.

Dilahirkan di Jember pada 13 Januari 2007, Aurelia datang dari keluarga pemuzik yang menjadikan muzik sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil. Dengan personaliti memikat dan suara yang merdu, gadis berbintang Capricorn ini mula menarik perhatian ramai menerusi beberapa cover lagu di media sosial sebelum mencetus fenomena tersendiri.

“Mungkin Hanya Kamu” membawa pendengar menyelami perasaan cinta yang tidak kesampaian – kisah remaja yang berpisah, di mana satu pihak telah pun melangkah ke depan, manakala seorang lagi masih terbelenggu dalam kenangan. Lagu ini menyampaikan rasa rindu, kehilangan, dan kepercayaan bahawa kadang-kadang, hanya satu orang yang benar-benar mengerti.

Menariknya, Aurelia turut terlibat dalam penulisan lagu ini bersama Clara Riva dan Tintin (Martinus Layardo). “Saya sangat teruja dapat menyumbang idea dalam lirik lagu ini. Ramai remaja mungkin pernah melalui situasi begini, jadi saya harap mereka rasa didengari,” jelas Aurelia.

Proses penerbitan lagu ini diterajui oleh ABRAM dan Tintin sebagai produser, yang berjaya menghasilkan susunan muzik bernuansa fresh meskipun temanya melankolik. Dengan tempo medium upbeat, lagu ini membawa kontras menarik antara melodi yang ceria dan lirik yang penuh perasaan.

“Saya sangat suka bagaimana muziknya disusun – ia sangat mencerminkan karakter vokal saya. Gabungan yang tepat antara sedih dan manis,” ujar Aurelia mengenai proses kreatif lagu tersebut.

Bukan sekadar audio, “Mungkin Hanya Kamu” turut hadir dalam bentuk video muzik arahan Benny Lim. Klip ini mempamerkan sisi lakonan Aurelia yang menyentuh, dengan babak-babak penuh emosi yang membolehkan penonton merasai sendiri kelukaan dan kerinduan yang disampaikan.

“Ini pengalaman baharu yang sangat menyeronokkan bagi saya. Saya cuba hayati sepenuhnya setiap babak agar penonton dapat rasa apa yang lagu ini cuba sampaikan,” katanya lagi.

Sebelum bergelar artis Universal Music Indonesia, Aurelia telah melancarkan dua single indie dan menghasilkan cover lagu-lagu popular di TikTok dan YouTube. Cover lagu “Bukan Untukku” oleh Tiara Andini – yang juga merupakan kakaknya – menjadi viral dan memperkenalkan keunikan vokal Aurelia kepada khalayak lebih luas.

Menandatangani kontrak bersama Universal Music Indonesia merupakan detik yang sangat bermakna buatnya. “Sejak kecil saya bermimpi menjadi penyanyi profesional. Kini ia menjadi nyata, dan saya bersyukur diberi peluang untuk berkarya dan berkongsi cerita melalui muzik,” kata Aurelia penuh semangat.

Dengan pelancaran single “Mungkin Hanya Kamu”, Aurelia bersedia melangkah ke dunia seni dengan keyakinan dan harapan besar. “Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati ramai orang, terutama yang pernah mengalami situasi yang sama. Ini hanya permulaan, dan saya tak sabar untuk berkongsi lebih banyak karya selepas ini.”

Single “Mungkin Hanya Kamu” kini boleh distrim di semua platform digital. Saksikan juga video muzik rasmi di saluran YouTube Universal Music Indonesia.

Ikuti perjalanan muzik Aurelia Syaharani di media sosial dan nantikan karya-karya terbarunya yang pasti mengesankan.