TV3 Rai Ulang Tahun Ke-41: 41 Tahun Penuh Drama, Terus Dekat di Hati Rakyat

TV3 meraikan ulang tahun ke-41 dengan penuh semangat dan penghargaan kepada penonton setia yang menjadi nadi kejayaan stesen televisyen nombor satu di Malaysia. Sejak mula bersiaran pada 1 Jun 1984, TV3 bukan sekadar platform hiburan, malah telah menjadi sebahagian daripada denyut nadi budaya dan kehidupan rakyat Malaysia.

Sepanjang empat dekad, TV3 telah menghasilkan drama-drama ikonik seperti Nur Kasih, 7 Hari Mencintaiku, Takdir Yang Tertulis, Melur Untuk Firdaus, Aku Bukan Ustazah dan Anak-Anak Mafia yang bukan sahaja meraih rating tinggi, malah menjadi perbualan hangat di media sosial dan meninggalkan kesan mendalam dalam hati penonton pelbagai generasi.

Ulang tahun kali ini diraikan dengan pelbagai program menarik, aktiviti interaktif serta kolaborasi eksklusif khusus untuk mengukuhkan hubungan antara TV3 dan peminat drama Melayu. Antara inisiatif utama ialah penyertaan TV3 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 dengan kerjasama bersama MPH Bookstores yang memperkenalkan pakej khas novel adaptasi drama popular bersama langganan percuma platform TontonUp.

Sambutan ini turut menampilkan tayangan semula drama-drama ikonik TV3 seperti 7 Hari Mencintaiku 2, Nur Kasih dan Nur yang membolehkan penonton mengimbau kembali detik-detik penuh emosi dan cerita yang mengasyikkan. Selain itu, sesi Meet & Greet bersama barisan pelakon drama Anak-Anak Mafia dan Aku Bukan Ustazah 2 akan menambah kemeriahan acara ulang tahun.

TV3 juga memperkenalkan projek khas Dari Layar Ke Lensa yang menampilkan empat bintang terkenal seperti Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim yang berperanan sebagai pengarah bagi empat Cerekarama istimewa, memberi nafas baru dan peluang kepada bakat kreatif tempatan.

Sebagai usaha memupuk bakat baharu, TV3 melancarkan Pencarian Pelakon Drama Sangat dan Ujibakat Pitch Story Anda ke TV3 yang membuka peluang kepada para pencinta seni untuk menonjolkan bakat lakonan dan kreativiti dengan hadiah menarik dan kontrak eksklusif. Sesi ujibakat akan diadakan di Universiti Malaya dan Taylor’s University pada bulan Jun.

Dalam pada itu, TV3 turut memperkenalkan sembilan wajah baharu penyampai berita yang akan mula bersiaran bermula 1 Jun, sebagai simbol komitmen TV3 dalam melatih dan mencungkil bakat muda untuk terus menyampaikan berita berkualiti kepada penonton.

Tidak ketinggalan, TV3 berkolaborasi dengan penyanyi dan ikon fesyen, Ernie Zakri menerusi pelancaran koleksi edisi terhad TV3 X Ernie Zakri yang terdiri daripada hijab eksklusif dan tote bag khas, sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang setia selama ini.

Ulang tahun ke-41 ini bukan sahaja saat mengenang pencapaian lalu, tetapi juga titik permulaan langkah baru TV3 untuk terus mempersembahkan kandungan bermutu, mengangkat bakat baharu dan menjadi platform hiburan utama yang menyatukan rakyat Malaysia. TV3 mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada penonton yang sentiasa menyokong sepanjang perjalanan ini dan mengajak semua terus bersama dalam menulis sejarah kejayaan baru.

Untuk maklumat terkini tentang drama kegemaran dan aktiviti TV3, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram di @TV3Malaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.