Bersiap sedialah untuk malam penuh memori, irama rancak dan semangat retro yang membara! Buat pertama kalinya, ikon muzik Eurodance terkenal dunia, Dr. Alban, bakal menjejakkan kaki ke Malaysia menerusi konsert eksklusif bertajuk Rewind & Play Experience, hasil penganjuran bersama dua nama besar dalam industri hiburan tempatan, Mojo Projects dan Tuff & Loud.
Konsert ini akan berlangsung pada Jumaat, 23 Mei 2025 jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur, membawa para peminat mengembara semula ke zaman keemasan muzik 90-an dengan lagu-lagu meletup seperti “It’s My Life”, “Sing Hallelujah”, dan banyak lagi. Inilah peluang untuk menyaksikan legenda sebenar Eurodance secara langsung sesuatu yang pastinya dinantikan oleh generasi yang membesar dengan irama tersebut.
Lebih daripada sekadar konsert, Rewind & Play Experience menjanjikan gabungan hiburan, visual dan nostalgia yang menyeluruh. Para pengunjung akan disambut dengan suasana interaktif bertemakan 90-an termasuk persembahan DJ retro, zon aktiviti khas, persembahan visual unik, serta pelbagai elemen kreatif yang menghidupkan kembali era kegemilangan tersebut dalam satu malam istimewa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mojo Projects, Ratna K. Nadarajan, penganjuran konsert ini adalah penghormatan kepada warisan muzik Eurodance yang pernah mewarnai budaya popular sedunia.
“Kami mahu mencipta lebih daripada sekadar persembahan. Kami mahu para penonton ‘terjun’ semula ke dalam era yang penuh warna, gaya dan tenaga satu pengalaman hiburan menyeluruh,” jelas Ratna.
Konsert ini juga merupakan satu bentuk penghargaan terhadap perjalanan seni Dr. Alban yang telah bertahan lebih tiga dekad, dengan karya-karya beliau terus mendapat tempat di hati peminat rentas generasi.
Dalam satu mesej khas kepada para peminat Malaysia, Dr. Alban menyatakan keterujaannya untuk kembali ke Asia:
“Saya sangat teruja untuk beraksi di Kuala Lumpur buat kali pertama. Bersiap sedialah untuk malam penuh kenangan, muzik dan semangat yang takkan dilupakan!”
Rewind & Play Experience dijangka menjadi antara acara kemuncak hiburan tahun ini, terutamanya buat para pencinta muzik era 90-an. Gabungan elemen muzik, memori dan meraikan warisan seni menjadikan konsert ini wajib hadir bagi mereka yang ingin bernostalgia dalam suasana penuh gaya dan tenaga.
Mengenai Mojo Projects
Ditubuhkan pada 2016, Mojo Projects Sdn Bhd ialah antara pemain utama dalam penganjuran acara berskala besar di Malaysia. Dengan fokus pada teknologi, pengalaman premium dan hiburan unik, Mojo terus menerajui industri acara di peringkat tempatan dan serantau.
