PPIM GESA HAPUSKAN SISTEM ‘BIDDING’ DAN TETAPKAN TAMBANG LANTAI E-HAILING.
4 min readPersatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar atau bidding serta menetapkan Kadar Tambang Lantai bagi perkhidmatan e-hailing. Gesaan ini dibuat bagi memastikan keadilan dan keseimbangan kepada semua pihak dalam ekosistem industri e-hailing, khususnya pemandu yang bergantung sepenuhnya kepada sektor ini sebagai sumber pendapatan.
Menurut PPIM, walaupun sistem tambang bidding memberi kelebihan tertentu kepada pengguna dari segi pilihan harga yang lebih rendah, kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu tidak seharusnya diketepikan. PPIM berpandangan bahawa pemandu e-hailing juga merupakan rakyat Malaysia yang terdedah kepada tekanan kos sara hidup, sekali gus memerlukan perlindungan dasar yang lebih adil dan berperikemanusiaan.
PPIM turut menzahirkan kekeliruan terhadap ketidakkonsistenan dasar sedia ada apabila perkhidmatan teksi dilarang menjalankan tawar-menawar tambang, namun perkhidmatan e-hailing pula dibenarkan melaksanakannya. Keadaan ini dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri Pengangkutan sebelum ini yang menyatakan bahawa sistem tambang bidding tidak pernah dibenarkan beroperasi di Malaysia.
Sehubungan itu, PPIM menegaskan bahawa MoT dan APAD perlu menggubal dasar yang lebih menyeluruh, adil dan seimbang merangkumi keseluruhan ekosistem Industri Gig Sektor E-Hailing, termasuk pengguna, pemandu dan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO), tanpa memihak kepada mana-mana pihak. Isu penurunan kadar tambang yang semakin kritikal sejak pelaksanaan sistem bidding dilihat memberi tekanan besar kepada pendapatan pemandu serta berpotensi menjejaskan kelestarian industri dalam jangka panjang.
Dalam masa yang sama, PPIM menyeru syarikat e-hailing agar bersaing secara sihat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa. PPIM juga membangkitkan kegagalan kerajaan menyelesaikan isu-isu utama yang membebankan pemandu, termasuk kenaikan kos insurans e-hailing dan isu kuota BUDI95 yang masih belum ditangani secara berkesan.
Justeru, PPIM menggesa MoT dan APAD supaya segera mengambil tindakan tegas dan konkrit tanpa sebarang alasan, demi memastikan kebajikan pemandu e-hailing terus terbela serta menjamin Industri Gig Sektor E-Hailing di Malaysia kekal relevan, mampan dan adil untuk jangka masa panjang.