Tag: #PPIM

  • Persatuan Pengguna Islam Malaysia Dedah Taktik Tidak Telus Syarikat Telco: Caj Tersembunyi Bebankan Pengguna

    Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini mendedahkan dakwaan serius mengenai amalan tidak telus dalam kalangan syarikat telekomunikasi (telco) yang didakwa mengenakan caj tersembunyi serta menawarkan pakej “percuma” yang akhirnya membebankan pengguna. Menurut Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan, isu ini bukan lagi terpencil, sebaliknya dilihat sebagai satu bentuk penindasan sistematik yang memberi keuntungan besar kepada syarikat, namun merugikan rakyat dengan bil mencecah ribuan ringgit. Beliau turut mempersoalkan integriti syarikat besar yang didakwa mengaut keuntungan melalui caj tambahan seperti insurans dan perkhidmatan pihak ketiga tanpa penjelasan jelas kepada pelanggan.

    Kes yang dikongsi oleh mangsa, Aina Ramli, menggambarkan bagaimana tawaran talian “percuma” boleh bertukar menjadi beban kewangan apabila pengguna dikenakan caj bulanan tanpa pengetahuan jelas. Situasi ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah boleh membawa kepada tindakan seperti senarai hitam, sekali gus menjejaskan rekod kredit pengguna. Walaupun kes tersebut berjaya diselesaikan selepas dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PPIM menegaskan bahawa ia mungkin hanya sebahagian kecil daripada masalah sebenar yang lebih meluas dalam industri.

    Sehubungan itu, PPIM menggesa pihak kerajaan dan MCMC mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan denda tinggi terhadap syarikat yang didapati bersalah, melaksanakan audit menyeluruh terhadap sistem bil telco, serta menghentikan amalan menyenarai hitam pengguna sebelum siasatan selesai. Dalam masa yang sama, orang ramai disaran agar lebih peka dengan penyata bil bulanan dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran “percuma” tanpa memahami terma sebenar. PPIM turut memberi amaran kepada pihak telco agar menghentikan amalan yang meragukan ini demi melindungi hak dan kebajikan pengguna di Malaysia.

  • TULAR: PRODUK SNEK KOREA MENGANDUNGI BABI, PPIM DESAK TINDAKAN TEGAS TERHADAP PIHAK YANG MENYEMBUNYIKAN MAKLUMAT

    Kuala Lumpur – Satu video tular di platform TikTok baru-baru ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna Muslim selepas mendedahkan penemuan ramuan berasaskan babi dalam snek popular dari Korea Selatan yang dijual di sebuah rangkaian farmasi terkemuka.

    Video oleh pengguna @liafa62 menunjukkan produk Olive Young Bagel Chips yang dibeli di rangkaian kedai kesihatan tersebut, didakwa mengandungi ramuan tidak halal, walaupun label terjemahan bahasa Inggeris pada bungkusan tidak menyatakannya secara jelas. Isu ini menimbulkan kemarahan ramai pengguna Muslim yang bergantung kepada maklumat label untuk memastikan makanan yang dibeli adalah halal.

    Mengulas perkara ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan @toqqi, menyifatkan tindakan syarikat yang didakwa sengaja menyembunyikan ramuan haram sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap pengguna Muslim di negara ini. Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), perlu mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna melalui pelabelan yang tidak tepat.

    PPIM turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan bungkusan produk import yang menarik tanpa memastikan adanya sijil halal JAKIM yang sah. Walaupun produk tersebut hanyalah snek atau makanan ringan, pengguna digalakkan untuk memeriksa ramuan asal menggunakan teknologi penterjemah dan melaporkan mana-mana premis yang menjual produk meragukan bagi melindungi komuniti daripada termakan barangan haram.

    Keadaan menjadi lebih serius apabila semakan mendapati varian Pizza menyenaraikan daging babi dalam ramuan asal di Korea, manakala varian lain pula diproses di kilang yang sama dengan produk berasaskan babi, menimbulkan risiko pencemaran silang. Pihak pengurusan rangkaian farmasi tersebut setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut, meninggalkan banyak persoalan dalam kalangan pengguna.

    Insiden ini sekali lagi menekankan kepentingan pemantauan ketat terhadap pelabelan produk makanan import serta kesedaran pengguna dalam memastikan mereka membeli produk yang halal dan selamat untuk dimakan.

  • PPIM GESA HAPUSKAN SISTEM ‘BIDDING’ DAN TETAPKAN TAMBANG LANTAI E-HAILING.

    Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar atau bidding serta menetapkan Kadar Tambang Lantai bagi perkhidmatan e-hailing. Gesaan ini dibuat bagi memastikan keadilan dan keseimbangan kepada semua pihak dalam ekosistem industri e-hailing, khususnya pemandu yang bergantung sepenuhnya kepada sektor ini sebagai sumber pendapatan.

    Menurut PPIM, walaupun sistem tambang bidding memberi kelebihan tertentu kepada pengguna dari segi pilihan harga yang lebih rendah, kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu tidak seharusnya diketepikan. PPIM berpandangan bahawa pemandu e-hailing juga merupakan rakyat Malaysia yang terdedah kepada tekanan kos sara hidup, sekali gus memerlukan perlindungan dasar yang lebih adil dan berperikemanusiaan.

    PPIM turut menzahirkan kekeliruan terhadap ketidakkonsistenan dasar sedia ada apabila perkhidmatan teksi dilarang menjalankan tawar-menawar tambang, namun perkhidmatan e-hailing pula dibenarkan melaksanakannya. Keadaan ini dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri Pengangkutan sebelum ini yang menyatakan bahawa sistem tambang bidding tidak pernah dibenarkan beroperasi di Malaysia.

    Sehubungan itu, PPIM menegaskan bahawa MoT dan APAD perlu menggubal dasar yang lebih menyeluruh, adil dan seimbang merangkumi keseluruhan ekosistem Industri Gig Sektor E-Hailing, termasuk pengguna, pemandu dan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO), tanpa memihak kepada mana-mana pihak. Isu penurunan kadar tambang yang semakin kritikal sejak pelaksanaan sistem bidding dilihat memberi tekanan besar kepada pendapatan pemandu serta berpotensi menjejaskan kelestarian industri dalam jangka panjang.

    Dalam masa yang sama, PPIM menyeru syarikat e-hailing agar bersaing secara sihat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa. PPIM juga membangkitkan kegagalan kerajaan menyelesaikan isu-isu utama yang membebankan pemandu, termasuk kenaikan kos insurans e-hailing dan isu kuota BUDI95 yang masih belum ditangani secara berkesan.

    Justeru, PPIM menggesa MoT dan APAD supaya segera mengambil tindakan tegas dan konkrit tanpa sebarang alasan, demi memastikan kebajikan pemandu e-hailing terus terbela serta menjamin Industri Gig Sektor E-Hailing di Malaysia kekal relevan, mampan dan adil untuk jangka masa panjang.

  • Penyelesaian Holistik untuk Isu Pencerobohan Tanah

    Penyelesaian Holistik untuk Isu Pencerobohan Tanah

    Isu pencerobohan tanah sering menjadi polemik di Malaysia, khususnya apabila tindakan drastik seperti pemusnahan tanaman dilakukan. Kejadian baru-baru ini di Raub, di mana pokok durian dimusnahkan atas alasan penguatkuasaan undang-undang, telah mengundang pelbagai reaksi. Walaupun tindakan itu berlandaskan undang-undang, ia menimbulkan persoalan sama ada langkah tersebut adalah yang terbaik.

    Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap pendekatan ini. Mereka tidak menyokong pencerobohan tanah, namun percaya bahawa penyelesaian yang lebih baik boleh dicari tanpa perlu memusnahkan hasil pertanian yang sudah matang. Oleh itu, PPIM mengemukakan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.

    Antara cadangan utama ialah pengambilan semula tanah oleh kerajaan untuk dijadikan ladang rasmi. Ini membolehkan pekebun yang sudah mengusahakan tanah tersebut diberikan hak pajakan yang sah atau diserap ke dalam koperasi. Dengan cara ini, hasil pertanian tidak akan terbuang dan negara juga dapat memperoleh manfaat ekonomi daripadanya.

    Selain itu, tanah yang telah dimajukan boleh dijadikan pusat latihan pertanian bagi golongan kurang bernasib baik. Belia asnaf, banduan, dan mereka yang berada dalam kategori B40 boleh mendapat latihan pertanian di tanah tersebut, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran mereka.

    PPIM juga mengesyorkan supaya kerajaan membantu pekebun kecil melalui penubuhan koperasi tempatan. Koperasi ini boleh berfungsi sebagai platform bagi pekebun mengusahakan tanah secara sah dan berstruktur, sambil memastikan mereka mematuhi undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan.

    Sebarang usaha pemutihan atau penstrukturan semula perlu didahului dengan audit alam sekitar. Langkah ini penting untuk memastikan pemulihan hutan dan kawalan pencemaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Alam sekitar tidak boleh dikorbankan dalam usaha menyelesaikan isu tanah ini.

    Dalam menangani isu ini, PPIM menekankan perlunya pendekatan yang lebih bijaksana. Kerajaan perlu mempertimbangkan kaedah yang adil dan mampan agar semua pihak mendapat manfaat secara berimbang.

    Akhirnya, undang-undang harus menjadi alat keadilan, bukan sekadar hukuman. Dengan solusi yang lebih inklusif, kita mampu menangani masalah ini dengan lebih berkesan dan bertanggungjawab.

  • SOKONGAN DIBERI OLEH PPIM UNTUK SKIM PERUBATAN MADANI (SPM).

    Aduan banyak diterima oleh PPIM tentang kesesakan di hospital, terutamanya di bahagian kecemasan.

    Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi yakin peningkatan kos sara hidup menyebabkan rakyat terpaksa ke hospital kerajaan biarpun terpaksa menunggu lebih lama.

    “Peningkatan pesakit yang memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dipercayai menjadi pesakit perlu menunggu lama,” katanya dalam satu kenyataan.

    Justeru, PPIM bersetuju dengan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Skim Perubatan MADANI yang diperkenalkan sejak 15 Jun 2023.

    “Inisiatif ini merupakan program rintis oleh Kerajaan Malaysia melalui KKM yang bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan B40 terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut (Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut).

    “Skim Perubatan MADANI membantu mengurangkan kesesakan dengan membolehkan rakyat yang layak mendapat rawatan ringan di klinik swasta secara percuma,” katanya.

    Nadzim berkata melalui skim itu, jumlah pesakit di bahagian rawatan pesakit luar atau ringan di Jabatan Kecemasan Hospital dapat dikurangkan dan tumpuan boleh diberikan kepada kes kecemasan.

    Selain itu, PPIM menyeru supaya lebih banyak klinik swasta mengambil bahagian menjadi sebagai klinik panel supaya usaha baik mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti KKM tercapai untuk kebaikan rakyat.

    “Kami di PPIM memandang baik usaha KKM memudahkan rakyat golongan B40 mendapat kemudahan ini dengan kelayakan secara automatik tanpa memerlukan pendaftaran. Semua yang layak akan mendapat kemudahan ini tanpa mengira agama, bangsa dan kecenderungan politik.

    “Rakyat perlu memeriksa kelayakan dan klinik panel di laman sesawang Protect Health dan hanya membawa kad pengenalan ke klinik yang tersenarai,” katanya.

    Tambah Nadzim, PPIM berharap usaha yang baik ini diteruskan dan diperluaskan lagi. Terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa kerana mengutamakan kebajikan rakyat.

    Sebarang pertanyaan, hubungi Hotline Unit Media PPIM di talian +60136116666 (Adi).