KUALA LUMPUR — Sambutan ulang tahun ke-50 perjalanan seni Maestro Ilaiyaraaja menerusi konsert mega RAAJA 50 Maestro Ilaiyaraaja Live in Concert dijangka menjadi antara acara hiburan paling berprestij di ibu kota apabila dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 6 Februari 2027 di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil. Dianjurkan oleh PINK ASIA dan MERCURI dengan sasaran sehingga 60,000 penonton dari dalam dan luar negara, pementasan ini bukan sekadar meraikan muziknya, malah dirancang menghimpunkan tokoh-tokoh penting industri perfileman India Selatan termasuk barisan pengarah, pelakon, dan penyanyi tersohor.
Selain penampilan nama-nama besar yang pernah bekerjasama dalam menghasilkan karya malar segar bersama sang maestro, konsert ini turut menampilkan barisan bakat generasi masa kini sebagai simbol kesinambungan legasi muzik beliau merentasi zaman. Segala persembahan pada malam bersejarah itu akan diperkukuh oleh iringan orkestra langsung yang menghimpunkan 70 pemuzik dari Eropah dan India, menjanjikan pengalaman audio visual yang memukau buat seluruh penonton di stadium. Pihak penganjur memaklumkan bahawa senarai penuh tetamu dan penampilan khas akan diumumkan sejurus selepas dimuktamadkan.
Dengan rekod pencapaian luar biasa merangkumi lebih 1,500 filem dan lebih 8,600 buah lagu sejak tahun 1976, RAAJA 50 menjadi pentas penghargaan buat pengkarya yang telah membentuk landskap muzik filem India moden. Jualan tiket bagi konsert ini bakal dibuka dalam masa terdekat menerusi platform rasmi yang akan diumumkan tidak lama lagi.












