Jumlah Bencana Kecil Meningkat 34.1 Peratus pada 2024, Melibatkan 259,841 Mangsa
3 min read
INFOGRAFIK - STATISTIK ALAM SEKITAR, MALAYSIA, 2025
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerbitkan Statistik Alam Sekitar 2025, yang menampilkan data menyeluruh mengenai enam komponen utama iaitu Keadaan & Kualiti Alam Sekitar; Sumber Alam & Kegunaannya; Sisa; Kejadian Ekstrem & Bencana; Penempatan Penduduk & Kesihatan Persekitaran; serta Penglibatan, Pengurusan & Perlindungan Alam Sekitar. Berdasarkan Framework for the Development of Environment Statistics (FDES) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2013), statistik ini memberikan gambaran terperinci tentang kesan perubahan iklim terhadap Malaysia pada tahun 2024, termasuk peningkatan kejadian bencana seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan kebakaran.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, menjelaskan bahawa jumlah kejadian bencana kecil meningkat 34.1 peratus kepada 228 kejadian berbanding 170 kejadian pada tahun sebelumnya. Negeri-negeri yang merekodkan bilangan bencana tertinggi ialah Terengganu dan Perak (28 kejadian masing-masing), diikuti Pahang dan Selangor (24 kejadian setiap satu). Banjir kekal sebagai bencana utama dengan 218 kejadian, manakala bilangan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat kepada 1,520 buah. Jumlah mangsa yang terjejas turut meningkat 28.8 peratus kepada 259,841 orang berbanding 201,712 orang pada 2023.
Walaupun begitu, kes demam denggi dan malaria menunjukkan penurunan pada 2024. Kes demam denggi menurun 0.6 peratus kepada 122,423 kes, dengan penurunan ketara di Pulau Pinang, W.P. Kuala Lumpur dan Kedah. Kes malaria juga menurun kepada 2,384 kes, dengan Sabah, Sarawak dan Kelantan mencatat pengurangan ketara. Dari segi kualiti udara, bilangan hari dengan bacaan sederhana berstatus sederhana di 65 stesen adalah antara 56 hingga 364 hari, sementara beberapa stesen merekodkan status tidak sihat seperti Bukit Rambai, Melaka (35 hari) dan Tanjung Malim, Perak (22 hari).
Selain itu, Malaysia buat julung kalinya menduduki tangga pertama global dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain, lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23. OpenDOSM NextGen terus berperanan sebagai platform utama menyediakan katalog data dan visualisasi interaktif untuk memudahkan analisis data awam melalui portal rasmi DOSM.