Sektor Pertanian Terus Mencatat Prestasi Positif, Mengukuhkan Ekonomi dan Keterjaminan Makanan
5 min read
INFOGRAFIK - INDIKATOR PERTANIAN TERPILIH, 2025.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerbitkan Indikator Pertanian Terpilih 2025, yang memperincikan prestasi sektor pertanian negara merangkumi aspek ekonomi, guna tenaga, pengeluaran domestik dan perdagangan luar negeri. Penerbitan ini memberi gambaran menyeluruh mengenai tiga subsektor utama iaitu tanaman, ternakan dan perikanan, di samping meneliti dimensi sosial yang menyumbang kepada kedudukan ekonomi Malaysia pada tahun 2025.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin memaklumkan bahawa Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM1.65 trilion pada tahun 2024, meningkat 5.1 peratus berbanding RM1.57 trilion pada tahun sebelumnya. Seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara, sektor pertanian turut menunjukkan prestasi positif apabila berkembang 3.1 peratus pada 2024, berbanding hanya 0.2 peratus pada 2023, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai salah satu pemacu penting ekonomi dan keterjaminan makanan negara.
Pertumbuhan sektor pertanian ini didorong terutamanya oleh prestasi kukuh komoditi kelapa sawit yang mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus. Kelapa sawit kekal sebagai penyumbang terbesar kepada nilai ditambah sektor pertanian dengan nilai RM38.1 bilion atau 36.8 peratus, diikuti oleh pertanian lain sebanyak RM29.7 bilion (28.7%) dan subsektor ternakan RM17.4 bilion (16.9%). Dari perspektif serantau, sumbangan sektor pertanian Malaysia kepada KDNK berada pada paras 8.2 peratus, meletakkan negara di kedudukan kelapan dalam kalangan 10 negara ASEAN.

Dari segi pengeluaran, buah tandan segar kelapa sawit mencatatkan jumlah tertinggi dalam kalangan komoditi pertanian dengan pengeluaran sebanyak 100,163.5 ribu tan metrik, meningkat 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan pengeluaran turut direkodkan bagi biji koko (33.3%), sayur-sayuran terpilih (11.8%), kenaf (11.5%), getah asli (11.1%), lada (7.5%) dan buah-buahan terpilih (4.5%). Bagi subsektor ternakan, bilangan ayam meningkat kepada 327.3 juta ekor, manakala pengeluaran daging ayam melonjak 13.7 peratus, disusuli daging lembu dan kerbau serta susu segar. Dalam subsektor perikanan, pendaratan ikan laut dan akuakultur air tawar masing-masing menunjukkan pertumbuhan, walaupun pengeluaran akuakultur air payau dan masin mencatatkan sedikit penurunan.
Aspek guna tenaga turut mencerminkan kepentingan sektor pertanian dalam ekonomi negara. Pada tahun 2024, seramai 1.48 juta orang atau 9.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja terlibat dalam sektor pertanian, meningkat berbanding tahun sebelumnya. Majoriti tenaga kerja adalah warganegara, diikuti bukan warganegara. Dari sudut pendapatan, penengah gaji dan upah bulanan pekerja mahir sektor pertanian direkodkan pada RM1,762, manakala purata gaji dan upah bulanan adalah RM2,460. Produktiviti buruh sektor pertanian juga meningkat 2.1 peratus, mencerminkan peningkatan kecekapan dan nilai tambah sektor ini.
Selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, sektor pertanian terus memainkan peranan strategik dalam menjamin bekalan makanan negara. Jumlah eksport agromakanan dan hasil pertanian terpilih meningkat daripada RM160.7 bilion pada 2023 kepada RM179.2 bilion pada 2024. Dalam tempoh sama, import turut meningkat kepada RM154.4 bilion, dengan import makanan negara berjumlah RM93.8 bilion, menggambarkan permintaan domestik yang terus berkembang.
Dalam perkembangan berkaitan keterbukaan data, Malaysia turut mencipta sejarah apabila menduduki tangga pertama dunia dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang diterbitkan oleh Open Data Watch, mengatasi 197 negara lain. Pencapaian ini menzahirkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh ketelusan dan kualiti data rasmi. Platform OpenDOSM NextGen pula berfungsi sebagai medium utama yang menyediakan katalog data dan visualisasi interaktif bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai statistik negara.