ISMAIL IZZANI KEMBALI MERUNTUN HATI DENGAN SINGLE EMOTIF “TENGGELAM”

Penyanyi dan penulis lirik berbakat besar, Ismail Izzani, kembali ke pentas muzik tempatan dengan single terbarunya berjudul “Tenggelam” — sebuah balada moden yang mencerminkan sisi matang dan reflektif dalam karier seninya. Lagu ini membawakan naratif cinta yang mendalam, dibalut dengan elemen sonik pop kontemporari yang mendalam dan melankolik.

Ditulis oleh Ismail bersama Brendan Lim Seng Meng, dengan komposisi oleh Amanda Gnai Song Hui dan Brendan, serta diterbitkan oleh pasukan produksi terkenal MFMF., “Tenggelam” hadir dengan elemen produksi yang segar namun dekat di hati pendengar generasi kini.

“Tenggelam bukan tentang kesedihan. Ia metafora untuk rasa cinta yang begitu mendalam seperti hanyut dalam emosi yang jujur dan penuh makna,” ujar Ismail.

Proses kreatif di sebalik penciptaan lagu ini berlangsung secara organik dan spontan dalam sesi rakaman pertama Ismail bersama MFMF. Di sinilah bermulanya ‘hook’ yang menjadi nadi lagu tersebut, hadir tanpa paksaan. Bagi Ismail, suasana studio yang santai dan terbuka menjadi kunci kepada karya yang benar-benar jujur dari hati.

Visual Bergaya Y2K, Sarat Emosi Tanpa Naratif Klise

Muzik video rasmi “Tenggelam” yang telah dilancarkan di YouTube Ismail Izzani pada 19 Jun 2025 turut mencuri perhatian dengan pendekatan visual yang minimalis, sinematik dan berinspirasikan aesthetic Y2K. Tanpa jalan cerita konvensional, muzik video ini menekankan ekspresi mood, tekstur visual dan emosi yang selari dengan ton lagu.

“Kami mulakan penggambaran seawal 4 pagi dan ia sangat spontan itulah yang saya suka. Setiap gerakan dan ekspresi lahir secara semula jadi. Saya tak nak cerita terlalu banyak; saya mahu orang rasa,” katanya.

Antara yang menjadikan projek ini lebih bermakna bagi Ismail ialah peluang untuk bekerjasama semula dengan dua individu penting yang pernah menjadi sebahagian perjalanan seninya sejak awal Ghazi Maslan dan Lily.

Harapan Sebuah Perjalanan Baharu

Ismail tidak meletakkan sasaran besar terhadap single ini, namun berharap agar “Tenggelam” dapat menjadi permulaan kepada fasa baharu dalam karier seninya sebagai seorang penyanyi, pemuzik dan penghibur yang ingin meninggalkan impak emosi kepada para pendengarnya.

“Saya harap orang boleh rasa vibe yang saya cuba bawa. Saya mahu diterima bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi sebagai seorang seniman yang mampu menyentuh jiwa,” kata Ismail dengan rendah hati.

“Tenggelam” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music. Muzik video rasmi juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Ismail Izzani.