Kegilaan muzik bakal melanda ibu kota apabila OPPO dan Warner Music Malaysia mempersembahkan Festival Muzik OOO 2025! yang bakal berlangsung di Heritage Valley, Kuala Lumpur pada 1 Julai 2025. Festival ini menjanjikan malam yang sarat dengan persembahan berkelas tinggi, teknologi terkini, dan sambutan gaya hidup yang luar biasa.
Barisan artis tersohor Malaysia termasuk Noh Salleh, MASDO, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, TUJU, Iman Troye, Priscilla Abby, Steadygang dan ramai lagi bakal menggamatkan pentas. Gabungan genre pop, hip-hop, rock dan indie menjadikan festival ini sebagai medan muzik paling dinamik tahun ini.
Antara yang paling teruja tentunya kumpulan MASDO, yang menganggap festival ini sebagai medan ‘panas badan’ sebelum konsert berskala besar mereka sempena ulang tahun ke-10 pada 30 Ogos nanti. “Kami tak mahu lepaskan peluang ini sebab barisan artis lain juga hebat dan acara ini sangat istimewa. Inilah masanya kita panaskan pentas sebelum konsert besar kami nanti,” ujar Ali mewakili MASDO.

Festival ini juga menjadi pentas pelancaran rasmi siri baharu OPPO Reno, membuktikan keterlibatan OPPO dalam memacu budaya muzik dan gaya hidup. Gabungan muzik dan teknologi ini bakal memberi pengalaman luar biasa kepada para pengunjung.
Menurut Raqeem Brian, Pengarah A&R Warner Music Malaysia, “Festival ini bukan sekadar konsert. Ia adalah perayaan budaya yang menyatukan masyarakat menerusi muzik, kreativiti dan inovasi teknologi. Kami teruja untuk bekerjasama dengan OPPO dalam menjayakannya.”
Festival Muzik OOO 2025! turut menampilkan pelbagai elemen interaktif termasuk booth jenama terlibat, gerai makanan dan minuman, serta ruang pameran menarik. Tidak ketinggalan, OPPO turut bekerjasama dengan Proton e.MAS menerusi siri kandungan digital khas berjudul ‘Roda Karaoke’, menampilkan artis-artis festival dalam format carpool karaoke yang menghiburkan.
Dengan tiket hanya RM50, para peminat dijemput untuk menjadi sebahagian daripada festival yang bakal mencipta sejarah dalam landskap hiburan Malaysia. Ayuh temui MASDO dan barisan artis kegemaran anda untuk malam yang tidak akan dilupakan!
