BELLA ASTILLAH & ADE GOVINDA BERSATU DALAM “LEBIH INDAH BERPISAH”

Selepas kejayaan single terdahulu, penyanyi dan pelakon berbakat, Bella Astillah, tampil dengan sebuah karya terbaharu yang menyentuh hati berjudul “Lebih Indah Berpisah”, menampilkan kolaborasi istimewa bersama komposer dan pemuzik prolifik dari Indonesia, Ade Govinda.

Dicipta sepenuhnya oleh Ade Govinda, lagu ini mengangkat tema tentang keberanian melepaskan cinta yang tidak lagi memberi erti, demi memulakan perjalanan baru yang lebih membahagiakan. “Lebih Indah Berpisah” bukan sekadar sebuah lagu cinta, sebaliknya ia hadir sebagai refleksi keteguhan jiwa untuk melangkah pergi dengan redha.

Sebagai sebahagian daripada usaha promosi, Ade Govinda dijadualkan hadir ke Kuala Lumpur pada Jun ini bersama Bella Astillah untuk siri promosi eksklusif. Majlis pelancaran rasmi lagu juga bakal berlangsung pada 12 Jun 2025, memberikan peminat peluang untuk mengenali lebih dekat makna di sebalik lagu ini.

Bagi Bella, karya ini memberi impak yang mendalam. “Pada awalnya, tajuk lagu ini sedikit berbeza, tetapi kami akhirnya sepakat untuk menggunakan perkataan ‘indah’ sebagai pusat makna. Kami mahu tonjolkan bahawa perpisahan juga boleh menjadi langkah positif dan bermakna,” jelasnya.

Menceritakan pengalaman bekerjasama dengan pasukan Ade Govinda, Bella menyatakan rasa kagumnya terhadap profesionalisme mereka. “Proses rakaman berjalan lancar, penuh semangat dan saling menyokong. Ia membuatkan saya berasa selesa dan bebas tekanan untuk menzahirkan emosi sepenuhnya dalam lagu ini,” katanya.

Bella berharap agar lagu ini mampu menjadi penguat semangat buat mereka yang sedang melalui fasa getir dalam kehidupan cinta mereka. “Saya tidak mahu bersaing dengan sesiapa. Lagu ini adalah untuk saya, dan untuk sesiapa yang sedang belajar melepaskan. Saya harap ia sampai ke hati pendengar, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia.”

Ade Govinda turut menzahirkan penghargaannya terhadap kolaborasi ini. Baginya, “Lebih Indah Berpisah” merupakan satu penghormatan terhadap kekuatan hati manusia. “Ia tentang berani memilih untuk pergi apabila cinta tidak lagi dihargai. Perpisahan bukan kegagalan, tapi permulaan kepada sesuatu yang lebih baik. Lagu ini lahir dari jiwa, dan Bella berjaya menyampaikannya dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Beliau turut memuji kesungguhan Bella dalam menjayakan projek ini. “Bella sangat profesional, bukan saja dalam nyanyian, malah lakonan dalam video muzik juga luar biasa. Tidak ramai artis muda yang mampu menunjukkan ketabahan dan dedikasi seperti beliau.”

Sejak dilancarkan bulan lalu, “Lebih Indah Berpisah” telah meraih lebih 700,000 tontonan di YouTube, membuktikan sambutan hangat peminat terhadap lagu yang penuh emosi ini. Kolaborasi ini bukan sekadar menyatukan dua nama besar, tetapi juga dua jiwa seni yang saling memperkaya.