Amsyar Lee Wakili Malaysia di Pertandingan Antarabangsa Sing! Asia, Buktikan Bakat di Pentas Mandarin

Penyanyi berbakat besar, Amsyar Leee kini mencuri tumpuan sebagai wakil Malaysia dalam pertandingan nyanyian realiti antarabangsa Sing! Asia yang bersiaran menerusi platform penstriman iQIYI. Program ini menghimpunkan peserta berpengalaman dari pelbagai negara Asia termasuk China, Jepun, Vietnam, Singapura dan Thailand dalam format pertandingan mingguan yang penuh cabaran serta memerlukan peserta menyampaikan lagu dalam bahasa Mandarin.

Menariknya, walaupun baru sahaja ditayangkan bermula 23 Mei lalu, kemunculan Amsyar dalam episod pertama telah mendapat reaksi positif daripada peminat. Kehadirannya bukan sahaja mewakili warna suara Malaysia, tetapi turut membawa kisah perjuangan peribadi yang menyentuh hati.

“Saya sangat bersyukur dan terharu dengan maklum balas peminat yang pertama kali menonton episod pembukaan Sing! Asia. Banyak cabaran yang perlu saya tempuhi, termasuk menyanyikan lagu Mandarin yang bukan bahasa pertuturan saya. Tapi inilah peluang untuk saya belajar dan keluar dari zon selesa,” ujar Amsyar.

Rakaman pertandingan telah pun berlangsung sejak Februari lalu di beberapa lokasi utama termasuk China, Jepun dan Hong Kong. Sepanjang penggambaran, Amsyar berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca sejuk yang menjejaskan peti suara serta kesukaran mendapatkan makanan halal.

“Antara cabaran terbesar ialah mengawal suara ketika cuaca terlalu dingin, terutama semasa di China. Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan keselesaan tekak dan stamina ketika menyanyi,” jelasnya lagi.

Lebih daripada sekadar cabaran luaran, Amsyar turut berdepan dengan ketakutan dalaman apabila mengakui dirinya mengalami stage fright dan anxiety ketika membuat persembahan. Namun, dengan kekuatan mental dan sokongan dari pasukan produksi, dia berjaya mengatasi rasa takut itu demi memberikan persembahan terbaik di pentas antarabangsa.

“Setiap kali naik pentas, saya tahu saya sedang lawan diri saya sendiri. Inilah kemenangan sebenar saya – untuk terus berani berdiri dan menyanyi dari hati. Saya percaya suara ini adalah suara anak Malaysia yang penuh emosi dan keikhlasan,” tambahnya.

Sepanjang penyertaannya, Amsyar turut memperoleh pengalaman baharu bekerja bersama produksi luar negara, terutamanya dalam aspek teknik vokal dan persembahan pentas. Pendekatan profesional mereka telah banyak membantu meningkatkan mutu persembahannya dalam pertandingan ini.

“Saya mahu buktikan bahawa penyanyi Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Biarpun masih jauh perjalanan, saya yakin setiap langkah yang saya ambil membawa saya lebih dekat kepada impian. Saya juga mahu buka mata ramai bahawa setiap suara ada tempat dan kekuatannya yang tersendiri,” katanya yang dikenali dengan lagu Belai.

Sing! Asia merupakan program pertandingan realiti baharu yang memberi fokus kepada bakat dan persembahan sebenar, tanpa sekadar bergantung kepada populariti semata-mata. Format pertandingan berubah setiap minggu, memberikan cabaran baharu kepada peserta untuk mengasah kemahiran dalam pelbagai genre dan bahasa.

Amsyar Leee kini sedang berjuang dalam siri pertandingan mingguan dan mengharapkan sokongan berterusan daripada peminat tempatan serta penonton Asia untuk terus mara ke pusingan akhir.

Untuk mengikuti perkembangan terkini Amsyar di Sing! Asia, layari platform penstriman iQIYI dan ikuti akaun media sosial rasmi beliau.