Malaikat Malam Raih RM14 Juta, Terus Cipta Gelombang Sebagai Filem Fenomena 2026
3 min read
Filem Malaikat Malam terus mengukuhkan statusnya sebagai antara naskhah fenomena tahun 2026 apabila berjaya meraih kutipan RM14 juta di seluruh negara sejak mula ditayangkan. Pencapaian membanggakan itu sekali gus membuktikan sambutan luar biasa penonton terhadap karya tempatan, selain memberi suntikan semangat kepada industri perfileman tanah air untuk terus menghasilkan naskhah berkualiti.
Seiring kejayaan tersebut, Malaikat Malam dilihat terus memainkan peranan penting dalam merancakkan industri filem tempatan dengan harapan kejayaannya dapat menjadi pemangkin dan pembakar semangat kepada lebih banyak karya tempatan selepas ini.
Menurut penerbit, Syafiq Yusof daripada Viper Studios, pencapaian itu merupakan satu penghargaan besar buat seluruh tenaga kerja di belakang tabir yang telah bertungkus-lumus menjayakan filem berkenaan.
“Kami amat bersyukur dengan sambutan luar biasa yang terus diberikan oleh penonton. Pencapaian kutipan RM14 juta ini bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan kepercayaan dan sokongan padu terhadap karya tempatan. Kami berharap Malaikat Malam akan terus menambat hati penonton, kekal menjadi pilihan di pawagam dan terus relevan sepanjang tempoh tayangannya,” katanya.
Filem arahan Nazifdin Nasrudin itu diterbitkan oleh Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios.
Mengangkat elemen cinta, persahabatan dan pengorbanan dalam latar dunia jalanan, Malaikat Malam mengisahkan perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta bernama Ratna. Pertemuan tidak dijangka itu akhirnya menjadi titik perubahan besar dalam kehidupannya.
Barisan pelakon yang membintangi filem ini termasuk Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Que Haidar, Riezman Khuzaimi dan Akmal Asyraf.
Malaikat Malam masih lagi ditayangkan di pawagam seluruh negara. Untuk perkembangan dan maklumat terkini, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios.