Didie Shazry Hidupkan Semula Lagu Ikonik “Yang Berlalu Tak Berulang” Dengan Nafas Baharu
5 min readDalam usaha mengangkat semula karya malar segar ke dimensi baharu, penyanyi muda berbakat, Didie Shazry tampil dengan versi remake lagu ikonik “Yang Berlalu Tak Berulang”. Lagu ini diberi nafas baharu tanpa menghilangkan roh dan emosi asal yang pernah menjadikan karya tersebut dekat di hati pendengar.
Didie Shazry atau nama sebenarnya E.D Shazry merupakan penyanyi berasal dari Sabah yang memiliki tona suara merdu dan penuh penghayatan. Namanya mula dikenali secara meluas selepas dinobatkan sebagai juara program Astro “Raise The Star”, selain berjaya memikat perhatian ramai menerusi persembahan karya ciptaan Aina Abdul di pentas akhir pertandingan tersebut. Didie juga merupakan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Projek rakaman semula “Yang Berlalu Tak Berulang” diterbitkan oleh Luncai Emas selaku pemegang hak cipta lagu tersebut dengan tujuan menghidupkan kembali karya klasik agar lebih dekat dengan cita rasa generasi masa kini. Projek ini turut mendapat persetujuan komposer asalnya, Neves Pretty Ugly, sekali gus memberi peluang kepada Didie untuk membawakan lagu tersebut dengan identiti dan gaya tersendiri.
Menurut Neves, lagu itu asalnya dipopularkan oleh mendiang Lotter dengan lirik yang ditulis oleh Allahyarham Loloq, dua figura seni yang cukup besar maknanya dalam industri muzik tanah air. Katanya, pemergian mereka meninggalkan ruang yang sukar diisi kerana setiap bait lirik dan melodi dalam lagu tersebut sangat dekat dengan jiwa. Neves turut meluahkan penghargaan terhadap cara Didie menghidupkan kembali emosi dan rasa yang pernah dirakamkan dalam karya tersebut. Baginya, rakaman semula ini seolah-olah menghidupkan kembali kenangan serta legasi seni yang ditinggalkan oleh kedua-dua tokoh berkenaan.

Didie pula mengakui lagu tersebut mempunyai nilai sentimental yang cukup besar buat dirinya kerana beliau membesar dengan karya-karya sebegitu, malah keluarganya juga merupakan peminat setia lagu tersebut. Lebih bermakna buat Didie apabila projek ini turut menghubungkannya dengan dua figura seni yang menjadi idolanya sejak kecil, iaitu Neves Pretty Ugly dan Allahyarham Loloq. Didie berharap versi remake ini bukan sahaja dapat menarik perhatian generasi baharu, malah terus menyentuh hati peminat lama dan menghidupkan semula legasi karya yang penuh makna itu.
Sebelum ini, Didie turut terlibat dalam album kompilasi “Joget Made In Malaysia” terbitan Luncai Emas menerusi lagu berentak joget kontemporari berjudul “Joget Jiwa Lara”. Album tersebut turut menampilkan barisan artis lain seperti Amir Jahari, Kmy Kmo & Luca Sickta, Jaclyn Chia dan Puteri Khareeza.
Proses rakaman “Yang Berlalu Tak Berulang” telah dijalankan di Jakarta bersama produser Joel Christine dan Didie sendiri. Lagu ini menerima olahan muzik dan susunan melodi baharu yang disesuaikan dengan identiti vokal Didie tanpa mengabaikan elemen asal karya tersebut. Proses adunan dan mastering pula dilakukan oleh Josecar Q.M Hutabarat dari ICM Studio, Indonesia. Sementara itu, penggambaran video muzik lagu ini turut dijalankan di Bali, Indonesia di bawah arahan Alfi Aditya.
Single remake “Yang Berlalu Tak Berulang” diharapkan mampu menyentuh hati pendengar lama dan baharu, selain menjadi pengingat kepada kenangan serta insan tersayang. Lagu ini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas mulai 24 April jam 4 petang dan turut tersedia di semua platform penstriman digital.