
Malam penuh adrenalin dan nostalgia tercipta apabila Cromok serta Barbarik berkongsi pentas menerusi Konsert Black On White yang berlangsung di Idea Live Arena, 3 Damansara pada 27 Jun lalu. Buat pertama kalinya dua kumpulan berpengaruh dalam arena thrash metal tanah air itu disatukan dalam sebuah konsert yang berjaya memenuhi jangkaan para peminat.
Seawal lagu pembukaan Black Fury, suasana dewan terus bertukar rancak dengan ledakan bunyi gitar, rentak dram yang padu serta sorakan penonton yang tidak putus-putus mengiringi setiap persembahan. Walaupun rata-rata anggota kumpulan kini berada dalam lingkungan usia 50-an, mereka masih menampilkan persembahan yang penuh tenaga dan karisma.


Cromok terus memukau peminat menerusi rangkaian lagu popular termasuk Prophecy, Stranger, Memories, Another You, Fallen Heroes, I Don’t Belong Here, Misery, Seedling dan Little One. Mereka turut memperkenalkan karya baharu berjudul Wisdom sebagai tanda bahawa perjalanan seni kumpulan itu masih terus berkembang.
Lagu Fallen Heroes pula menjadi detik paling emosional apabila didedikasikan kepada Allahyarham Din dan Allahyarham Miji yang banyak menyumbang kepada sejarah awal kumpulan tersebut.
Barbarik kemudiannya mengambil alih pentas dengan membawakan Peluru Cokelat, Kasmaran Selamanya, Mencari Asal Usul, Nasib Baik, Periok Api, Inspirasi Syakilla, Sakit Bantal Empuk, Keris Tak Ada Sarong dan Golok Kayu. Vokal bertenaga Muss berjaya mengekalkan aura persembahan sehingga ke penghujung malam.


Apa yang lebih menyentuh hati, Muss sebenarnya sedang melalui detik sukar apabila isterinya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital. Namun beliau tetap menyempurnakan persembahan dengan penuh profesionalisme sebelum terus bergegas mendapatkan isterinya selepas konsert berakhir.
Konsert itu turut dimeriahkan dengan persembahan khas menerusi medley lagu-lagu Kembara seperti Hati Emas, Impian Seorang Nelayan, Ekspres Rakyat, Impian Anak Jalanan dan Gerhana yang berjaya menggabungkan elemen nostalgia dengan identiti muzik keras kedua-dua kumpulan.
Black On White bukan sekadar sebuah konsert, malah menjadi bukti bahawa muzik rock dan thrash metal tempatan masih mempunyai pengaruh yang kuat serta terus mendapat sokongan daripada peminat pelbagai generasi.