MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

“Fenomena Polong” Buat Netizen Tak Senang Duduk, Poster & Trailer Rasmi Jadi Perbualan Hangat

4 min read

Menjelang tayangan rasminya di pawagam, Polong sudah mula mencetuskan fenomena tersendiri di media sosial apabila poster dan trailer rasmi filem seram thriller tempatan itu menerima pelbagai reaksi luar jangka daripada netizen. Sejurus dilancarkan pada 7 Mei lalu, ruang digital dibanjiri komen penonton yang rata-ratanya mengakui rasa seram, tidak selesa dan meremang hanya selepas menonton beberapa minit sedutan rasmi filem berkenaan.

Antara yang paling mencuri perhatian pastinya komen netizen yang menyifatkan Polong sebagai “filem wajib tonton”, malah ada yang mengakui sudah mula rasa tidak senang duduk walaupun trailer filem itu belum mendedahkan keseluruhan jalan cerita. “Baru trailer dah meremang,” tulis seorang pengguna media sosial, manakala seorang lagi meninggalkan komen, “Trailer pun dah goosebumps. Hope filemnya memang tak mengecewakan”. Reaksi spontan seperti itu terus menjadi perbualan hangat dan dikongsi semula oleh ramai pengguna lain.

Selain elemen seram, visual dan sinematografi filem ini turut menerima pujian ramai kerana berjaya mewujudkan aura gelap dan disturbing yang cukup kuat. Ada netizen menyifatkan Polong memiliki “rencah filem seram sebenar” dengan gaya pengarahan yang berjaya membina rasa tidak selesa sejak awal trailer lagi. Gabungan elemen horror, gore dan visual sinematik juga membuatkan ramai peminat filem tempatan percaya Polong berpotensi menjadi antara filem seram paling keras tahun ini.

Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB), filem ini turut mendapat sokongan pengedaran daripada 10 Star Cinemas Sdn Bhd serta kerjasama pemasaran bersama Primeworks Studios. Polong menampilkan barisan pelakon seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Jun Lojong, Namron dan Nadiya Nisaa yang masing-masing membawa karakter penuh misteri dan emosi.

Dari segi penceritaan, Polong mengisahkan Fatima, seorang wartawan bercita-cita tinggi yang secara tidak sengaja membongkar kisah silam seorang bomoh wanita bersiri bernama Maria Hadi. Ketika cuba mencari kebenaran di sebalik jenayah lampau tersebut, Fatima akhirnya membebaskan sesuatu yang jauh lebih berbahaya, iaitu entiti misteri yang sebelum ini dipelihara dan cuba dikawal oleh Maria. Premis gelap serta unsur mistik yang dipaparkan menjadikan filem ini semakin mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan penonton.

Jika trailer rasmi sahaja sudah cukup membuat ramai meremang dan tidak senang duduk, persoalan yang kini bermain di fikiran peminat filem seram tempatan adalah sejauh mana pula gangguan sebenar yang bakal menanti apabila Polong menghantui pawagam nanti. Filem ini dijadualkan menemui penonton di seluruh negara bermula 28 Mei 2026.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.