
Malam kemuncak AIM25 berlangsung penuh gilang-gemilang apabila gergasi rakaman Universal Music Malaysia (UMMY) bersama barisan rakan kerjasama menyapu bersih 10 Kategori Utama dan tiga trofi Pra-Anugerah.
Dominasi besar ini menyaksikan nama-nama ikonik tanah air melakar detik bersejarah di bumi kenyalang dengan membawa pulang 13 daripada 31 anugerah kompetitif yang dipertandingkan.
Tumpuan utama malam tersebut pastinya terarah kepada biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang membuktikan kedudukannya sukar digugat apabila membolot empat trofi. Beliau memenangi kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi Kesuma dan kolaborasi antarabangsa Cenderamaya, sebelum karya puitis Pesanan Buat Diri diumumkan sebagai Lagu Tradisional Terbaik dan memenangi trofi paling didambakan, Lagu Terbaik.
Selain penguasaan balada dan irama tradisional, pentas AIM25 turut digegarkan oleh pelbagai genre lain di bawah naungan UMMY. Antaranya karya bertenaga ciptaan Faizal Tahir dan Ezra Kong, Bila Sampai Waktu yang dinobatkan sebagai Lagu Rock Terbaik, gabungan lirik mantap Yonnyboii bersama Malique menerusi Tanya Tuhan (Lagu Rap / Hip Hop Terbaik), serta mesej harmoni dalam Matahari Malaya sebagai Lagu Perpaduan Terbaik.
Suasana dewan bertukar penuh emosi dan penghormatan apabila ratu rock negara, Ella, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sri Wirama. Anugerah khas tanpa tandingan ini mengiktiraf perjalanan seni serta legasi 38 tahun beliau yang terus menyuntik inspirasi buat generasi artis masa kini.
Kejayaan UMMY turut disempurnakan di platform digital apabila lagu Seni Berdamai Dengan Takdir menerima anugerah Lagu Paling Tinggi Distrim. Pihak pengurusan UMMY menyifatkan sokongan luar biasa para peminat dan kerja keras para pencipta karya sebagai kunci utama yang membolehkan muzik tempatan terus mekar dan relevan.