
Gabungan nama-nama besar arus perdana dan tenaga dinamik gelombang baharu bakal menggegarkan TM Stadium Nasional menerusi pelancaran barisan artis fasa pertama RAPAT Hip Hop Fest.
Kumpulan sensasi K-Clique, kelompok hip hop Forceparkbois, serta bintang rap wanita berbakat, Bunga, disahkan sebagai headliners utama yang bakal mengemudi acara mega ini pada 24 Oktober 2026. Menurut pihak penganjur, CEOMAN Entertainment, pemilihan barisan awal ini mencerminkan warna, keaslian, dan kepelbagaian identiti muzik rap tempatan sebelum senarai fasa seterusnya diumumkan tidak lama lagi.
Tarikan paling dinanti-nantikan peminat muzik adalah segmen The National Cypher, sebuah kolaborasi berskala besar yang bakal menyatukan 100 rapper tempatan merentasi pelbagai era dan dialek bahasa dalam satu giliran rima tanpa henti.
Di samping pentas utama, zon The Underground turut disediakan khusus bagi memberi ruang kepada bakat baharu beraksi dalam segmen freestyle dan battle.
Pengalaman festival berskala stadium ini dibuka kepada orang ramai dengan harga tiket serendah RM99 menerusi kategori RAPAT GENG di ticket2u.com dan maiseat.com, membolehkan peminat menikmati persembahan berterusan selama 12 jam tanpa henti.