Inflasi terkawal, pasaran buruh mantap, dan prestasi stabil di sektor utama terus mengekalkan momentum positif ekonomi Malaysia.
4 min read
INFOGRAFIK - SOROTAN STATISTIK EKONOMI MALAYSIA (MESR), SIRI 12_2025
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerbitkan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR), Siri 12/2025 yang menghimpunkan statistik ekonomi terkini bagi Oktober 2025 serta beberapa petunjuk awal untuk November 2025. Edisi kali ini turut memuatkan artikel khas bertajuk “Prestasi Sektor Pertanian Makanan Malaysia Dari Perspektif Pengeluaran” yang menonjolkan pertumbuhan kukuh subsektor agromakanan merentasi komoditi utama seperti sayur-sayuran, rempah ratus, buah-buahan dan tanaman perindustrian. Prestasi positif ini, disokong peningkatan berterusan dalam pengeluaran ternakan dan perikanan, membuktikan daya tahan sektor pertanian makanan serta peranannya yang kritikal dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Di peringkat global, pemulihan ekonomi dijangka berlaku secara beransur-ansur. Menurut OECD Economic Outlook (Volume 2025 Issue 2), pertumbuhan KDNK global diunjurkan pada 3.2 peratus bagi tahun 2025 sebelum menyederhana kepada 2.9 peratus pada 2026 akibat kekangan fiskal dan perdagangan global yang masih perlahan. Walau bagaimanapun, pertumbuhan dijangka kembali meningkat kepada 3.1 peratus pada 2027, disokong inflasi yang semakin reda dan keadaan kewangan yang lebih akomodatif, meskipun risiko penurunan masih wujud.
Dalam konteks domestik, ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan kumulatif 4.7 peratus bagi tiga suku tahun pertama 2025. Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa sektor Perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama disokong permintaan domestik yang stabil, manakala sektor Pembuatan berkembang secara sederhana dan Pembinaan mencatat pertumbuhan kukuh. Sektor Pertanian serta Perlombongan dan Pengkuarian pula mencerminkan prestasi bercampur kesan faktor cuaca dan turun naik harga komoditi.
Prestasi perindustrian turut mengukuh apabila Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 6.0 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2025, dipacu sektor Pembuatan dan Perlombongan. Nilai jualan pembuatan melonjak kepada RM171.7 bilion, mencerminkan aktiviti pengeluaran yang rancak dan berorientasikan eksport, khususnya dalam subsektor Elektrik dan Elektronik. Dari segi perkhidmatan, jualan Perdagangan borong dan runcit mencecah RM160.9 bilion, disokong permintaan pengguna yang stabil serta prestasi memberangsangkan subsektor kenderaan bermotor.
Perdagangan luar Malaysia turut mencatat prestasi memberangsangkan dengan jumlah perdagangan meningkat dua digit pada Oktober 2025, disokong eksport yang kukuh dan mengekalkan lebihan dagangan. Dari sudut harga, inflasi kekal sederhana pada paras sekitar 1.3 hingga 1.4 peratus, membantu mengekalkan kuasa beli isi rumah. Pasaran buruh juga terus stabil dengan kadar pengangguran rendah dan kadar penyertaan tenaga buruh yang konsisten. Seiring itu, Indeks Pelopor Malaysia menunjukkan trend positif, menandakan prospek ekonomi jangka pendek yang menggalakkan. Keseluruhannya, prestasi ini mengukuhkan kedudukan Malaysia di landasan pertumbuhan mampan, selari dengan pencapaian negara menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25.