Cinta Pun Ada Versi! Fian Ali Bawa ‘Setia’ Dalam Dua Rasa

Penyanyi berbakat Fian Ali kini kembali dengan lagu terbaharu berjudul Setia, sebuah balada penuh emosi yang menyentuh hati, hasil ciptaan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38, Amir Jahari. Lirik lagu ini ditulis bersama Datuk Ayu Puteh dan merupakan runut bunyi (OST) untuk drama bersiri TV3, Bukan Sekadar Lafaz 2. Apa yang lebih menarik, lagu Setia hadir dalam dua versi yang berbeza – versi perlahan yang penuh emosi dan versi rancak yang memiliki jiwa tersendiri.

Setia mengangkat tema pengorbanan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi, walaupun diuji dengan pelbagai cabaran. Menurut Fian, lagu ini bukan hanya sekadar luahan kesedihan, tetapi juga simbol kekuatan jiwa yang tetap teguh meskipun terluka. “Sedih tak semestinya menangis, kan? Lagu ni lebih real,” ujar Fian dengan penuh keikhlasan.

Namun, perjalanan menghasilkan lagu ini tidaklah mudah. Fian berkongsi bahawa sesi rakaman pertama terpaksa ditangguhkan kerana beliau kurang sihat. “Amir pesan, suara tak semestinya kena perfect. Kalau dah ada rasa, itu yang penting. Baru sedap dan sampai,” jelas Fian sambil mengungkapkan rasa terima kasihnya terhadap Amir Jahari yang banyak memberikan panduan dan nasihat. “Dia sabar, kreatif dan banyak beri panduan serta nasihat. Saya banyak belajar daripada dia,” tambah Fian.

Amir Jahari pula mengakui bahawa Setia memang dicipta khas untuk Fian Ali. “Saya nampak dia sebagai seorang yang sopan, beradab dan tegas. Lagu ni memang ‘tailor-made’ untuk dia. Bila dengar suara dia, saya terus rasa lagu ni mesti ada dua versi,” kata Amir yang mendapat ilham untuk lagu ini ketika berada di Yogyakarta, Indonesia.

Bagi Fian, lagu ini bukan sahaja menambah koleksi muziknya, tetapi juga memberi dimensi baharu dalam kerjaya seni beliau. Sebagai bakat muda yang semakin menyerlah dalam industri hiburan tanah air, Setia diharapkan dapat memperkukuh lagi portfolio muzik Fian Ali. Lagu ini kini boleh didengari di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Dua versi, dua rasa, satu cerita – cinta yang ikhlas, cinta yang bertahan, dan cinta yang setia.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

Media Contact:
Alternate Records & Talents
Email: contact@alternaterecords.com
Facebook: @alternate.my_
Instagram: @alternate.my_
TikTok: @alternate.rt_