ASTRO PERKENAL PROGRAM NYANYIAN DIGITAL BAHARU ‘RAISE THE STAR MALAYSIA’, 5 KOMPOSER TERNAMA TURUT SERTA SEBAGAI MENTOR

Astro terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa industri muzik tempatan dengan melancarkan program pencarian bakat terbaharu, Raise The Star Malaysia, sebuah pertandingan nyanyian digital pertama seumpamanya yang menyatukan kreativiti lima komposer terkenal bersama barisan vokalis berbakat dari seluruh Malaysia. Dengan gabungan elemen hiburan, cabaran dan pembangunan bakat, program ini menjanjikan kelainan dalam format pertandingan muzik arus perdana.

Sebagai platform inovatif yang mengutamakan kreativiti dan keaslian, Raise The Star Malaysia akan menyenarai pendek 30 peserta terbaik daripada ribuan yang hadir ke sesi uji bakat. Mereka akan bersaing secara mingguan selama lapan episod, dinilai berdasarkan markah juri profesional serta undian peminat dalam talian untuk menentukan siapa yang paling layak menghidupkan lagu ciptaan para komposer. Antara barisan komposer dan mentor utama yang bakal membimbing para peserta adalah Ajai, Aina Abdul, Shila Amzah, Audi Mok dan Ikhwan Fatanna.

Uji bakat terbuka secara fizikal akan diadakan pada 10 dan 11 Mei 2025, bermula jam 8 pagi di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Uji bakat dalam talian turut dibuka sehingga 8 Mei 2025 melalui media sosial menggunakan tanda pagar rasmi #RaiseTheStarMY. Program ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, tanpa mengira kaum, yang memiliki bakat dalam bidang nyanyian dan berperwatakan menarik.

Program ini bakal menemui penonton mulai 22 Jun 2025 hingga 10 Ogos 2025, setiap Ahad, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria (104), serta boleh distrim secara digital melalui Astro GO, On Demand, sooka dan portal Astro Gempak. Penonton juga berpeluang memainkan peranan penting dalam menentukan perjalanan para peserta melalui sistem undian interaktif yang disediakan sepanjang siaran.

Selain memberi peluang kedua kepada mereka yang ingin menyerlahkan bakat terpendam, Raise The Star Malaysia turut mengetengahkan misi untuk melahirkan artis pelapis yang bukan sahaja hebat menyanyi, malah mampu menyampaikan karya dengan emosi yang tulen dan penuh penghayatan. Setiap minggu, peserta yang mara akan mendapat bimbingan langsung daripada mentor masing-masing dalam usaha mencari ‘suara paling tepat’ untuk menghidupkan karya eksklusif mereka di pentas akhir.

Dibawakan khas oleh U Mobile sebagai penaja utama, Raise The Star Malaysia bukan sekadar pertandingan, tetapi ruang untuk komuniti muzik berkembang, saling menyokong dan melahirkan karya yang mencerminkan suara generasi baharu Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai format, jadual dan proses penyertaan, layari laman rasmi di gempak.com/raisethestar.