Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam buat julung kalinya melancarkan program khas yang membawa dua sukan unik iaitu Flag Football dan Frisbee ke kalangan pelajar sekolah menengah di Kuala Terengganu. Misi sukan dan khidmat masyarakat ini dijadual berlangsung dari 12 hingga 19 Jun 2025, melibatkan seramai 146 pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman.
Program ini bukan sahaja memperkenalkan sukan-sukan yang masih baharu dalam kalangan pelajar tempatan, tetapi juga menjadi platform pembelajaran luar bilik darjah yang menyatukan elemen pendidikan jasmani, interaksi sosial dan keseronokan. Pelajar-pelajar akan didedahkan kepada teknik asas, konsep permainan, serta semangat kesukanan dalam Flag Football dan Frisbee, dengan pendekatan interaktif dan bimbingan langsung daripada mahasiswa FSR.

Aktiviti ini dianjurkan oleh pelajar semester enam daripada program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (SR2416NA, SR241NB dan SR241NC), dengan kerjasama dua komuniti sukan aktif iaitu Rentap (Flag Football Club) dan All Ultimate Roar (Frisbee Community). Menerusi kerjasama ini, dua kumpulan pelajar FSR akan mengendalikan sesi berasingan di dua sekolah yang terlibat, masing-masing dengan fokus kepada satu jenis sukan.
Majlis perasmian program yang dikenali sebagai ‘Terengganu Takeoff: United Under One Flag dan Frisbee Throwlogy D’Ganu’ dijangka disempurnakan oleh Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad bin Raja Azidin, selaku Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam. Kehadiran beliau bakal menyuntik semangat kepada para pelajar dan penganjur untuk menjayakan program ini dengan lebih berimpak tinggi.
Program ini bukan sahaja bertujuan memperluas pendedahan pelajar terhadap sukan alternatif, malah memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kerja berpasukan antara mahasiswa universiti dan pelajar sekolah. Ia turut membuka peluang untuk mencungkil minat dan bakat baharu dalam kalangan pelajar sekolah terhadap sukan bukan arus perdana.

FSR percaya bahawa sukan adalah medium terbaik untuk membina jati diri, disiplin dan kerjasama, serta menjadi wadah berkesan dalam membina hubungan komuniti yang positif. Justeru, pelaksanaan aktiviti seperti ini amat digalakkan untuk diteruskan dan dikembangkan ke lebih banyak sekolah di masa akan datang.
Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh dikemukakan kepada Muhammad Aqil Haikal, Exco Publisiti Program ‘Terengganu Takeoff: United Under One Flag dan Frisbee Throwlogy D’Ganu’ melalui talian 012-6206 008 atau e-mel ke aqilheykal@gmail.com.