Golf Amal Selebriti Kali Ke-5 Teruskan Legasi Kebajikan, Seru Penyertaan Korporat dan Individu

Persatuan Karyawan Malaysia meneruskan komitmennya dalam memperjuangkan kebajikan penggiat seni tempatan melalui penganjuran Golf Amal Selebriti Kali Ke-5 yang akan berlangsung pada Ahad, 10 Mei 2026 bermula jam 12.00 tengah hari di Kota Seriemas Golf & Country Club, sebelum diteruskan dengan majlis Makan Malam Gala dan penyampaian hadiah.

Penganjuran edisi kelima ini, dengan sokongan FINAS, membawa misi mengumpul dana kebajikan bagi membantu artis serta penggiat filem di bawah PROFIMA, di samping memperkukuh sinergi antara industri seni, sektor korporat dan masyarakat melalui sebuah platform berimpak tinggi yang berteraskan tanggungjawab sosial.

Menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada Hans Isaac selaku Pengerusi FINAS serta Azmir Saifuddin Mutalib atas sokongan dan komitmen yang diberikan, termasuk penyertaan secara langsung dalam acara ini.

Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran terdahulu di Templer Park Country Club, Staffield Country Resort, Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia dan Kota Seriemas Golf & Country Club, sekali gus membuktikan kesinambungan acara ini sebagai satu inisiatif kebajikan yang terus mendapat sokongan pelbagai pihak.

Sehubungan itu, pihak penganjur menyeru syarikat korporat, GLC, institusi kewangan serta rakan strategik untuk tampil menyokong melalui penajaan, termasuk kategori Gold Sponsor sebanyak RM10,000 yang melayakkan penyertaan lapan pemain atau dua flight percuma, Silver Sponsor sebanyak RM5,000 dengan empat pemain atau satu flight percuma, serta Hole Sponsor sebanyak RM1,000 yang menawarkan dua pemain percuma.

Semua penaja akan menerima liputan promosi menyeluruh menerusi kempen media, bahan publisiti rasmi, pengiktirafan semasa sidang media termasuk sesi penyerahan mock cheque, serta penjenamaan sepanjang hari kejohanan berlangsung.

Selain penajaan korporat, penyertaan individu turut dibuka kepada pemain golf dan penyokong yang ingin bersama menyumbang kepada usaha kebajikan ini.

Golf Amal Selebriti bukan sekadar sebuah kejohanan golf, tetapi merupakan platform kebajikan yang menyatukan industri, sektor korporat dan masyarakat dalam membantu artis serta pekerja filem yang memerlukan. Sokongan korporat yang diberikan bukan sahaja menaja sebuah acara, malah menjadi sumbangan bermakna kepada kebajikan penggiat seni yang telah banyak berjasa kepada landskap seni dan budaya negara.

Sumbangan penajaan boleh disalurkan ke akaun Persatuan Karyawan Malaysia di Public Bank bernombor 3108024130. Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh menghubungi Dato’ Freddie Fernandez di talian 012-2071400, menghantar emel ke fredez2009@gmail.com atau melayari laman web karyawan.my.

Ayuh semua kaki golf, bersama beraksi sambil berbakti.