Dalam usaha memperkasa komuniti usahawan tempatan, Astro dengan kerjasama RichWorks Academy Sdn Bhd telah menganjurkan program khas Astro Open Day bagi memberikan pendedahan mendalam mengenai strategi pemasaran berimpak tinggi melalui media.
Program ini menghimpunkan lebih 300 peserta daripada kalangan usahawan program Ai Branding Marketing Growth (AiBMG) untuk merasai secara langsung bagaimana kekuatan ekosistem Astro yang merangkumi TV, radio, digital dan on-ground activation boleh dijadikan platform penjenamaan dan promosi yang ampuh bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS).
Bertempat di Studio 1, Bukit Jalil, acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Grace Lee, Ketua Pegawai Kewangan dan Operasi Kumpulan Astro. Peserta juga berpeluang menyertai sesi ramah mesra bersama penyampai radio terkenal seperti Nabil Ahmad, Rahim, Anas Tahir, Prem, Aishah Sinclair dan Terry, menjadikan acara ini bukan sahaja informatif, malah penuh inspirasi.

Marlina Mansor, Ketua Perkhidmatan Kreatif Astro turut berkongsi strategi dan insight pemasaran melalui platform Astro yang boleh dimanfaatkan secara kreatif dan efektif. Lebih menarik, para peserta turut dibawa melawat ke studio ikonik seperti Awani, Borak SeeNi serta beberapa konti radio Astro bagi memahami secara langsung operasi di sebalik tabir.
Kemuncak program diserikan dengan kehadiran Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman, Pengasas & Presiden RichWorks Academy, yang memberikan pesanan ringkas dan menyuntik semangat kepada para peserta agar merebut peluang keemasan yang terhidang di hadapan mereka.
Menurut Astro, program seperti ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan untuk menyokong pembangunan perniagaan tempatan, selain mengukuhkan kedudukan Astro sebagai rakan media strategik dalam membantu usahawan mengembangkan jenama masing-masing ke tahap yang lebih tinggi.
Dengan ekosistem media yang menyeluruh dan bimbingan praktikal daripada pakar industri, para peserta kini lebih bersedia untuk melangkah ke hadapan dalam dunia keusahawanan yang kompetitif dan mencabar.
