MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

Majalah 3 Dedah Sisi Berbeza Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah

KUALA LUMPUR, 5 OKTOBER 2026 – Mengimbau kembali sosok wanita di sebalik seorang negarawan yang meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, masyarakat dan negara, program dokumentari TV3, Majalah 3 bakal menampilkan sebuah dokumentari khas bertajuk ‘Tun Dr Siti Hasmah’ sebagai penghormatan buat Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dokumentari istimewa berdurasi sejam itu bukan sekadar merakamkan pemergian Allahyarhamah, malah membawa penonton mengenali sisi peribadi beliau yang mungkin tidak pernah dilihat umum di sebalik kehidupannya sebagai isteri kepada mantan Perdana Menteri, tokoh perubatan serta figura yang cukup dikenali di Malaysia.

Lebih menarik, dokumentari berkenaan menghimpunkan perkongsian daripada beberapa individu yang pernah mengenali Allahyarhamah secara dekat, termasuk isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek; penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima; serta Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Zamri Radzi.

Keperibadian Allahyarhamah yang sentiasa merendah diri serta melayan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan turut menjadi antara perkara yang diketengahkan dalam dokumentari tersebut.

Kisah Siti Masitah Awang Kechik, yang menyediakan kuih-muih tradisional kegemaran Allahyarhamah, menjadi antara gambaran bagaimana Allahyarhamah menghargai insan di sekelilingnya dan melayan mereka seperti keluarga sendiri.

Keprihatinan Tun Hasmah turut terserlah menerusi perkongsian Datuk Seri Dr Wan Azizah mengenai perjalanan Allahyarhamah sebagai antara perintis dalam bidang perubatan.

Sementara itu, Datuk Rashid Sidek mengimbau kembali perhatian Allahyarhamah terhadap kebajikan atlet negara, memperlihatkan keprihatinannya terhadap pembangunan serta kesejahteraan golongan yang banyak mengharumkan nama Malaysia.

Turut mencuri perhatian ialah perkongsian Erma Fatima mengenai sisi peribadi pasangan Tun Hasmah dan Tun Dr Mahathir, termasuk beberapa kisah menarik tentang kehidupan mereka yang mungkin jarang diketahui umum.

Daripada kenangan sebagai seorang sahabat dan mentor, pengalaman dalam dunia seni dan sukan, sehinggalah kisah kehidupan keluarga, setiap perkongsian memberikan perspektif berbeza mengenai Tun Hasmah dan keperibadian beliau yang dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Lebih daripada sekadar merakam perjalanan hidup seorang tokoh, ‘Tun Dr Siti Hasmah’ mengangkat kisah seorang wanita yang menyerlahkan kekuatan melalui keteguhan prinsip, ilmu, kasih sayang serta pengorbanan sepanjang hayat.

Dokumentari berkenaan turut menjadi ruang untuk penonton mengenang jasa serta sumbangan Allahyarhamah dalam pelbagai bidang, selain melihat sisi seorang wanita, isteri, ibu, sahabat dan tokoh yang meninggalkan legasi tersendiri kepada negara.

Jangan ketinggalan menyaksikan Majalah 3 Istimewa: Tun Dr Siti Hasmah secara eksklusif pada 5 Oktober 2026, jam 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim menerusi Tonton.

Untuk maklumat lanjut serta perkembangan terkini mengenai program TV3, orang ramai boleh mengikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok menerusi @TV3Malaysia.