
Pacu Daya Saing perniagaan, DC Healthcare tambah empat cawangan baharu dan jenamanya di Tiga Negeri DC Healthcare Holdings Berhad (DC Healthcare) untuk mengukuhkan kedudukannya dalam sektor penjagaan kesihatan dan kecantikan tempatan, menerusi perasmian empat cawangan klinik estetik perubatan baharu sepanjang tempoh Julai hingga September 2026. Langkah ini memperluaskan perkhidmatan prosedur bukan invasif dan invasi minimum miliknya ke zon kepadatan tinggi di Semenanjung Malaysia.
Gerak kerja pengembangan ini direalisasikan menerusi pembukaan Klinik Dr Chong di Muar serta USJ Taipan pada bulan Julai, diikuti pengoperasian cawangan Setia Alam (Eco Ardence) pada bulan Ogos. Menjelang bulan September, Kumpulan ini mula melangkah setapak ke hadapan dengan menampilkan identiti baharu menerusi pelancaran Klinik DC Plus di Greenlane, Pulau Pinang, sekali gus melengkapkan kepelbagaian jenama di bawah naungannya.
Menurut Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr. Chong Tze Sheng, strategi penambahan cawangan fizikal ini digerakkan secara berstruktur mengikut keperluan pasaran setempat serta keupayaan operasi klinikal semasa. Pendekatan tersebut memastikan pertumbuhan syarikat kekal seimbang di samping memelihara standard rawatan dan keselesaan pelanggan di setiap lokasi.
Keyakinan terhadap peluasan jejak fizikal ini dipacu oleh momentum kewangan yang memberangsangkan, di mana segmen perkhidmatan estetik Kumpulan mencatatkan lonjakan perolehan 20 peratus kepada RM39.12 juta bagi tempoh separuh pertama TK2026. Prestasi tersebut turut disokong oleh kenaikan hasil suku kedua sebanyak 15 peratus kepada RM20.44 juta berbanding RM17.80 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Bagi fasa berikutnya, DC Healthcare menumpukan usaha kepada pemerkasaan teknologi perubatan terkini dan penambahan rangkaian produk penjagaan kulit premium. Pada masa sama, syarikat memanfaatkan sistem pemasaran digital dan analitik data pesakit bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber di setiap fasiliti demi kelangsungan perniagaan jangka panjang.


