Sebuah mahligai perkahwinan yang dibina selama bertahun-tahun boleh musnah dalam sekelip mata hanya kerana tersilap percaturan. Lebih menyukarkan keadaan apabila kebenaran hanya terbongkar selepas segala-galanya terlanjur musnah, meninggalkan persoalan sama ada masih ada ruang untuk memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.
Mengangkat kisah tentang kepercayaan, fitnah dan penyesalan dalam kehidupan berumah tangga, drama terbaharu TV3, Andai Masih Ada Maaf, membawa penonton mengikuti perjalanan sebuah keluarga yang berdepan pelbagai ujian apabila sesuatu yang disangka benar mula mengubah seluruh kehidupan mereka.
Diterbitkan oleh FJ Pictures Sdn Bhd, drama bersiri sebanyak 28 episod ini merupakan karya penulis K. Adli dan arahan Feroz Kader. Drama berkenaan menampilkan Fattah Amin, Hanna Delisha, Nazrief Nazri dan Malek Mccrone sebagai teraju utama.
Andai Masih Ada Maaf mula menemui penonton pada 30 September 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam menerusi slot Akasia TV3. Episod baharu turut boleh distrim di iQIYI satu jam selepas siaran di TV3.
Drama ini mengisahkan Hana lakonan Hanna Delisha, seorang wanita berkerjaya yang menjalani kehidupan bahagia bersama suaminya, Dr Reza yang dilakonkan Fattah Amin. Reza merupakan seorang doktor psikologi yang dikenalinya sejak zaman universiti.
Dikurniakan seorang anak perempuan, kehidupan mereka pada awalnya kelihatan sempurna sehinggalah kemunculan semula Azmeer lakonan Nazrief Nazri, seorang kenalan lama yang membawa kembali kisah silam yang tidak pernah diketahui oleh Reza.
Pertemuan semula itu pada awalnya tidak menimbulkan sebarang masalah. Malah, Reza berasa gembira dapat bertemu semula dengan kenalan lama mereka. Namun, di sebalik kemunculannya, Azmeer sebenarnya menyimpan dendam terhadap Hana dan mula merancang untuk memusnahkan rumah tangga pasangan tersebut.
Pelbagai manipulasi dan fitnah mula diwujudkan sehingga Reza sendiri mula meragui kesetiaan isterinya. Beberapa petunjuk yang sengaja ditinggalkan membuatkan Reza percaya bahawa Hana mempunyai hubungan sulit.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila satu kejadian yang mengaitkan Hana dengan Azmeer membuatkan Reza benar-benar percaya bahawa isterinya telah mengkhianatinya.
Tanpa mengetahui kebenaran sebenar, Reza mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada Hana. Dalam masa sama, cerita mengenai dakwaan kecurangan Hana mula tersebar dan menjadi tular.
Hana bukan sahaja berdepan kehilangan kepercayaan daripada suaminya, malah turut menerima kecaman daripada keluarga, rakan-rakan dan netizen. Kehidupannya berubah secara drastik apabila tuduhan yang tidak benar mula mempengaruhi pandangan orang di sekelilingnya.
Mengulas mengenai watak Reza, Fattah Amin berkata karakter tersebut memberi ruang kepadanya untuk meneroka sisi seorang suami yang terpaksa berdepan dengan akibat daripada keputusan yang dibuatnya sendiri.
“Reza bukan watak yang mudah kerana pada awalnya dia yakin dengan segala yang dilakukan. Dia percaya bahawa dia sedang mempertahankan rumah tangga tetapi tanpa sedar, keputusan itu sendiri yang menghancurkan keluarga.
“Paling berat apabila dia mula sedar kesilapan sendiri, namun banyak perkara yang sudah tidak boleh diundurkan. Saya rasa itu yang membuatkan perjalanan Reza menarik untuk diikuti,” katanya.
Andai Masih Ada Maaf turut mengajak penonton melihat bagaimana kepercayaan dalam sebuah rumah tangga boleh berubah apabila fitnah dan manipulasi mula menguasai keadaan. Dalam situasi apabila kebenaran hanya diketahui selepas hubungan mengalami kerosakan besar, persoalan tentang peluang kedua dan kemampuan untuk memaafkan menjadi antara persoalan utama yang dibawa drama ini.
Mampukah cinta yang pernah musnah dibina semula selepas segala rahsia terbongkar? Dan apabila sebuah hati sudah terlalu banyak terluka, mampukah cinta diberi peluang sekali lagi?
Jangan ketinggalan menyaksikan Andai Masih Ada Maaf mulai 30 September 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.
Penonton juga boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, satu jam selepas siaran di TV3, menerusi laman web atau aplikasi iQIYI di Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.






