KUALA LUMPUR – Setelah sebelum ini memperkenalkan karya muziknya kepada umum, Jose Rizal, seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan di Indonesia, kembali meneruskan perjalanan seninya menerusi single kedua berjudul ‘LELAH’.
Mengusung nuansa pop ballad, ‘LELAH’ membawa pendengar menyelami kisah tentang cinta, tekanan emosi dan seseorang yang akhirnya sampai ke satu titik keletihan selepas terlalu lama bertahan dalam sebuah hubungan toxic.
Lagu tersebut menggambarkan keadaan apabila seseorang terus mempertahankan sebuah hubungan sehingga perlahan-lahan kehilangan dirinya sendiri. Perasaan cinta yang pada awalnya menjadi alasan untuk terus bertahan akhirnya bertukar menjadi beban yang semakin sukar dipikul.
Menurut Jose Rizal, menerusi ‘LELAH’ dia mahu berkongsi kisah mengenai seseorang yang terlalu lama bertahan sehingga terlupa bahawa dirinya sendiri juga perlu diselamatkan.
“Lewat lagu ‘LELAH’, saya ingin menceritakan tentang seseorang yang sudah terlalu lama bertahan. Kadang kita mencintai seseorang sampai lupa bahawa diri kita sendiri juga perlu diselamatkan.
“Lelaki juga boleh berada di titik terendah dari segi mental dan psikis yang tidak terkawal. Ada saat di mana berhenti dan menghilang bukan bermaksud menyerah, tetapi memilih untuk menyelamatkan diri dengan caranya masing-masing,” katanya.
Bukan sekadar hadir dalam bentuk audio, Jose Rizal turut menampilkan music video ‘LELAH’ yang digarap dalam konsep short movie bagi menguatkan lagi jalan cerita yang dibawa menerusi lagu tersebut.
Visual berkenaan memaparkan sebuah hubungan yang dipenuhi tekanan dan unsur dominasi, selain mengetengahkan perspektif bahawa lelaki juga boleh menjadi mangsa kekerasan dalam sesebuah hubungan.
Pendekatan sinematik dan emosional yang digunakan dalam music video berkenaan menjadikan ‘LELAH’ bukan sekadar sebuah karya muzik, sebaliknya turut membawa sebuah cerita yang dekat dengan mereka yang pernah melalui pengalaman hubungan yang sama.
Bagi Jose Rizal, ‘LELAH’ bukan hanya berkisar tentang pengakhiran sebuah hubungan, tetapi turut menjadi peringatan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk memilih dirinya sendiri apabila sebuah hubungan lebih banyak memberikan luka berbanding kebahagiaan.
Dari sudut muzik, ‘LELAH’ dicipta oleh Rinaldy Vidianza, manakala liriknya ditulis bersama oleh Jose Rizal dan Rinaldy Vidianza.
Produksi muzik pula dikendalikan oleh Rinaldy Vidianza, dengan Rudolf H. Dequeljoe bertindak sebagai Vocal Director dan Garneta Haruni sebagai Executive Producer.
Single ‘LELAH’ bakal dilancarkan secara rasmi pada 29 September 2026 dan boleh didengarkan menerusi pelbagai platform muzik digital.
Dalam masa sama, music video ‘LELAH’ akan ditayangkan menerusi saluran YouTube rasmi Jose Rizal Music.






