MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

Hael Husaini dan Mimi Fly Bergabung Dalam “Garah”, Eksperimen Muzik Penuh Tenaga

Poster rasmi single Garah menampilkan Hael Husaini berkot merah bersama Mimi Fly berbusana seram berlatar belakang gelap

Hael Husaini dan Mimi Fly akhirnya bergabung dalam “Garah”, sekali gus menandakan kolaborasi pertama kedua-dua penyanyi itu dalam sebuah lagu.

Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, “Garah” tampil sebagai sebuah karya pop moden yang menggabungkan warna muzik Nusantara bersama elemen pop-rock dan hip-hop. Gabungan tersebut menghasilkan bunyi yang bertenaga, dramatik serta sarat dengan nuansa tempatan.

Lebih menarik, karya ini turut mempertemukan kreativiti Hael Husaini dan Mimi Fly bersama komposer terkenal, Iqie Hugh. Ketiga-tiga mereka berganding bahu dalam proses penciptaan bagi menghasilkan sebuah lagu yang mempunyai identiti tersendiri.

Judul “Garah” sendiri membawa makna yang unik. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, “garah” merujuk kepada senda gurau atau lawak jenaka, selari dengan sisi spontan dan bersahaja yang dapat dirasakan menerusi lagu ini.

Namun, di sebalik judul yang kedengaran ringan, “Garah” sebenarnya menyentuh tentang pencarian hati dan sesuatu yang sukar ditemukan.

Liriknya menggambarkan perjalanan mencari sesuatu yang seakan-akan hilang, sedangkan jawapannya mungkin selama ini tersembunyi di dalam diri. Ungkapan “Cintersembunyi, di dalam dada” memberikan gambaran tentang perasaan yang dekat tetapi masih belum terungkap, sementara persoalan berulang mengenai ke mana harus membawa hati menambahkan rasa resah dan ingin tahu.

Bagi Hael Husaini, “Garah” membuka ruang untuk dirinya meneroka warna muzik yang berbeza bersama Mimi Fly.

“Saya anggap kolaborasi dengan Mimi memang sesuatu yang sudah lama ditunggu kerana ini julung-julung kali kami bergabung dalam sebuah lagu. ‘Garah’ mempunyai warna tersendiri dan kami mahu hasilkan sesuatu yang segar, tetapi pada masa yang sama masih mempunyai rasa tempatan.

“Gabungan pop, rock dan hip-hop memberikan lagu ini tenaga yang berbeza, manakala liriknya pula mempunyai sisi yang lebih mendalam. Saya harap pendengar dapat menikmati ‘Garah’ bukan sahaja melalui muzik, tetapi juga cerita yang cuba kami sampaikan,” jelas Hael.

Bagi Mimi Fly pula, penghasilan “Garah” menjadi peluang untuk bereksperimen dengan pendekatan yang lebih bebas, khususnya apabila idea beliau disatukan dengan Hael Husaini dan Iqie Hugh.

“Saya sangat teruja kerana sekian kalinya dapat bekerjasama dengan Hael dalam sebuah lagu. Kami datang dengan karakter dan juga cara kerja yang berbeza, jadi proses penghasilan ‘Garah’ memang menyeronokkan.

“Saya juga turut terlibat dalam penciptaan lagu ini dan kami cuba mencari keseimbangan antara elemen moden dengan bunyi yang dekat dengan identiti kita. Saya rasa pendengar akan dapat merasakan sesuatu yang berbeza apabila mendengar lagu ini,” kongsi Mimi Fly.

Kekuatan “Garah” terletak pada pertemuan beberapa unsur muzik yang berbeza tetapi tetap berpadu. Sentuhan Nusantara memberikan warna tempatan yang kuat, manakala elemen pop-rock dan hip-hop menyuntik tenaga serta pendekatan yang lebih kontemporari.

Gabungan ini membolehkan Hael dan Mimi menampilkan sisi yang mungkin belum pernah mereka terokai bersama sebelum ini.

Tidak terhenti pada muzik, “Garah” turut hadir dengan sebuah video muzik yang membawa penonton ke dunia penuh misteri dan keseraman.

Berlatarbelakangkan Hauntu Malaysia @ The Linc KL, pengalaman teater imersif bertemakan seram pertama di Malaysia, MV ini menampilkan Hael yang tiba di sebuah hotel lama dan usang.

Selepas membunyikan loceng di kaunter, kemunculan lembaga misteri memaksanya melarikan diri. Namun, setiap cubaan untuk mencari jalan keluar hanya membawa kepada lebih banyak gangguan.

Keadaan bertambah seram apabila Hael ditangkap oleh seorang lembaga wanita lalu dikenakan sumpahan. Dalam usaha mencari jawapan, dia menemukan sebuah buku daftar tetamu lama yang menyimpan petunjuk tentang misteri hotel tersebut, termasuk satu penemuan mengejutkan di halaman terakhir.

Tanpa mendedahkan penghujung cerita, penonton bakal menyaksikan perjalanan Hael yang berubah daripada seorang mangsa ketakutan kepada sesuatu yang tidak pernah dijangka.

Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam, kolaborasi Hael Husaini dan Mimi Fly merupakan satu pertemuan kreatif yang memberi ruang kepada kedua-dua artis untuk meneroka sisi baharu.

“Apabila dua artis dengan karakter yang kuat seperti Hael dan Mimi digabungkan, kami mahu memastikan hasilnya mempunyai identiti yang istimewa. ‘Garah’ memberi mereka ruang untuk bereksperimen, bukan sahaja dari segi muzik tetapi juga melalui dunia visual yang dibina untuk video muziknya.

“Kami percaya gabungan bunyi, tenaga dan elemen misteri ini akan memberikan pengalaman yang berbeza kepada pendengar dan penonton,” jelas beliau.

Single “Garah” nyanyian Hael Husaini dan Mimi Fly mula dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 25 September 2026. Video muzik rasminya pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Rocketfuel Entertainment.

Dengan gabungan dua karakter muzik yang tersendiri, sentuhan Nusantara serta elemen pop-rock dan hip-hop, “Garah” hadir sebagai sebuah kolaborasi yang membawa pendekatan berbeza buat Hael Husaini dan Mimi Fly.