Tiga Dekad Kemudian, Wings Raikan Album Ikonik Dengan Persembahan Eksklusif

Written by

in

Album Biru Mata Hitamku kekal menjadi antara karya penting dalam sejarah perjalanan muzik kumpulan Wings. Diterbitkan pada tahun 1996, album ini menandakan satu fasa baharu buat kumpulan tersebut apabila Mus tampil sebagai vokalis utama bersama JoBranko, Eddie dan Black. Gabungan ini telah melahirkan sebuah identiti muzik yang lebih matang, agresif dan berjiwa rock sejati.

Selepas 30 tahun, karya yang pernah mencorakkan era rock Malaysia itu kini kembali diraikan menerusi konsert istimewa Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary. Konsert ini akan berlangsung pada 5 September 2026 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, anjuran Icon Entertainment sebagai penghargaan terhadap sebuah album yang terus relevan sehingga ke hari ini.

Penganjuran konsert ini bukan sekadar nostalgia, tetapi satu usaha untuk mengangkat semula nilai artistik yang terdapat dalam album tersebut. Lagu-lagu seperti Enigma, Jika Kau Tahu, Makam Kekasih, Asmara dan Jalan-Jalan masih kekal menjadi siulan peminat walaupun sudah tiga dekad berlalu sejak ia pertama kali diperdengarkan kepada umum.

Kemunculan semula Mus bersama barisan pemuzik Wings pada era tersebut membuktikan bahawa kekuatan sesebuah kumpulan tidak hanya bergantung kepada individu, tetapi kepada kualiti karya yang dihasilkan. Biru Mata Hitamku menjadi bukti bahawa perubahan dalam struktur kumpulan mampu menghasilkan satu lagi fasa kejayaan yang berbeza tetapi tetap bermakna.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, konsert ini diadakan bagi memberi penghargaan kepada sebuah album yang sering dianggap underrated, namun mempunyai impak besar kepada perjalanan Wings. Beliau menegaskan bahawa setiap lagu dalam album ini mempunyai keunikan tersendiri yang wajar diraikan semula di pentas besar.

Sementara itu, JoBranko menyifatkan Biru Mata Hitamku sebagai salah satu album paling signifikan dalam sejarah Wings. Selain memenangi Anugerah Kulit Album Terbaik di AIM 1996, album ini turut melahirkan beberapa karya yang terus kekal hidup dalam ingatan peminat sehingga kini.

Beliau turut menyatakan keterujaan untuk kembali berkongsi pentas bersama Mus, Eddie dan Black dalam sebuah persembahan yang dijangka penuh emosi dan nostalgia. Bagi beliau, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu perayaan kepada perjalanan panjang sebuah karya yang masih dicintai hingga hari ini.

Konsert ini turut mengangkat tema ringkas namun simbolik, dengan galakan kepada peminat untuk hadir mengenakan pakaian hitam sebagai tanda penghargaan kepada identiti album. Suasana ini dijangka menambah lagi elemen dramatik dan eksklusif sepanjang malam persembahan berlangsung.

Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary akan menjadi antara acara rock paling dinanti tahun 2026. Tiket kini boleh didapati menerusi Ticket2U dengan pelbagai kategori termasuk IDAMAN, MR BARBARIK, JIKA KAU TAHU, ENIGMA dan GRAND VIP. Konsert ini dijangka menjadi malam bersejarah yang menghidupkan semula legasi Wings dalam satu persembahan yang penuh jiwa dan kenangan.