TV3 Temui Wajah Baharu & Idea Segar! Dua Pelakon Dilahirkan, Tiga Naskhah Menanti Layar

Sempena sambutan ulang tahun ke-41 dengan tema ‘41 Tahun Penuh Drama’, TV3 meneruskan legasinya sebagai peneraju hiburan tanah air menerusi dua inisiatif besar Pencarian Pelakon Drama Sangat dan Pitch Story Anda ke TV3! Program ini menjadi medan pencungkil bakat dan ruang eksplorasi kreatif yang berjaya menarik hampir 300 penyertaan dari seluruh negara.

Setelah melalui proses saringan yang mencabar, dua bintang baharu telah berjaya menambat hati juri dan muncul sebagai juara: Zairi Aziz dan Ariana Yusof. Kedua-duanya akan menandatangani kontrak eksklusif tiga tahun bersama Alternate Records dan bakal membintangi drama terbitan baharu TV3, sekaligus melakar permulaan karier profesional dalam dunia lakonan.

Pemilihan dibuat oleh dua nama besar dalam industri hiburan Malaysia – pengarah dan pelakon tersohor Erma Fatima, serta tokoh penerbitan Datuk Hasniza Nordin. Mereka menilai peserta berdasarkan keaslian lakonan, potensi jangka panjang serta kemampuan menyampaikan emosi secara autentik.

Sementara itu, inisiatif Pitch Story Anda ke TV3! membuka pentas kepada penulis skrip dan pencerita muda untuk menyalurkan idea asli dan segar. Daripada ratusan penyertaan, tiga karya terbaik telah diangkat sebagai pemenang:

  1. Juara (RM5,000): Takdir Tak Bernama oleh Nur Yusrina Saliman
  2. Naib Juara (RM3,000): Block C oleh Nur Adam Syahmi Samril
  3. Tempat Ketiga (RM1,000): Denda(m) oleh Muhammad Zahin Adlan Zailani & Ahmad Adam Mohamad Adan

Setiap naskhah ini membuka ruang baharu untuk genre, tema dan perspektif berbeza dalam dunia drama, dan berpotensi untuk dikembangkan menjadi karya layar yang kuat dan dekat dengan penonton.

TV3 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan para juri atas kerjasama dan dedikasi mereka. Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan bakat luar biasa yang dimiliki anak muda Malaysia, tetapi juga iltizam berterusan TV3 dalam memperkasa industri seni tempatan.

Nantikan kemunculan wajah baharu ini di kaca TV anda – dan siapa tahu, mungkin idea anda pula bakal dipentaskan selepas ini!

Ikuti perkembangan terkini dunia drama tempatan melalui platform media sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube: @TV3Malaysia serta saluran khas drama @dramasangat di Instagram.