Bolt, platform mobiliti terkemuka dari Eropah, hari ini melancarkan ciri terbaharu yang memudahkan urusan perjalanan dari lapangan terbang: Flight Tracking for Scheduled Rides. Inisiatif ini membolehkan pelanggan menghubungkan maklumat penerbangan terus ke dalam aplikasi, memastikan waktu pengambilan yang lebih tepat – walaupun berlaku kelewatan atau pembatalan penerbangan.
Dengan ciri ini, pelanggan yang menjadualkan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1) dan Terminal 2 (KLIA 2) boleh menambah butiran penerbangan semasa membuat tempahan. Bolt akan mengesan kemas kini status penerbangan secara langsung dan melaras semula masa pengambilan secara automatik, tanpa sebarang caj tambahan.
Prosesnya mudah – pengguna hanya perlu menekan butang ‘Schedule’ di halaman utama aplikasi Bolt, masukkan lokasi pengambilan dan destinasi seperti biasa, kemudian pilih ‘Add Flight Details’. Mereka boleh menyenarai maklumat penerbangan seperti tarikh ketibaan, nombor penerbangan, syarikat penerbangan, atau bandar asal penerbangan. Pilih jangka masa pilihan selepas ketibaan, dan sistem akan mengurus selebihnya secara automatik.
Menurut Afzan Lutfi, Pengurus Besar Bolt Malaysia, “Bolt kini merupakan rakan rasmi e-hailing di lebih 30 lapangan terbang global, termasuk KLIA 1 dan 2. Melalui ciri Flight Tracking ini, pelanggan individu dan pelanggan korporat Bolt Business boleh menikmati ketenangan minda. Jika penerbangan mereka tertunda atau dibatalkan, kami akan atur semula pengambilan tanpa caj tambahan. Ia menjimatkan masa menunggu dan memastikan perjalanan lebih lancar, walaupun semasa waktu sibuk.”
Ciri ini adalah lanjutan daripada penambahbaikan kepada perkhidmatan ‘Scheduled Rides’ yang diumumkan tahun lalu, termasuk pelanjutan tempoh tempahan sehingga 90 hari lebih awal. Bolt kini menawarkan pelbagai kategori kenderaan dan pengalaman perjalanan yang lebih fleksibel, disesuaikan mengikut keperluan pasaran tempatan.
Lapangan terbang merupakan antara lokasi paling popular untuk pengguna Bolt. Oleh itu, syarikat ini turut memperkenalkan panduan bergambar dalam aplikasi untuk membantu pelanggan mengenal pasti lokasi pengambilan dengan lebih mudah. Penjenamaan fizikal di lapangan terbang juga telah dipertingkat agar pengguna lebih yakin dan tidak tersasar.
Dengan ciri Flight Tracking, Bolt menetapkan standard baharu untuk kemudahan perjalanan lapangan terbang. Ia bukan sekadar tempahan e-hailing, tetapi pengalaman menyeluruh yang disesuaikan dengan keperluan masa nyata pelanggan – dari udara hingga ke destinasi akhir.