Pelakon, pengarah dan usahawan terkenal, Farid Kamil melakar sejarah baharu dalam perjalanan kerjayanya apabila melancarkan kedai motor elektrik pertamanya sebagai ‘Selangor Dealer’ melalui penubuhan NEO FK Sdn Bhd. Usaha ini dijayakan bersama dua rakan kongsinya, Abdullah Sani Abu dan Mohammad Nor Hakim, dengan sokongan kolaborasi strategik bersama GGR Motor. Langkah ini menandakan komitmen serius beliau untuk membawa revolusi mobiliti hijau kepada rakyat Malaysia.
Majlis pelancaran berlangsung di premis NEO FK Sdn Bhd yang terletak di 69GF Seria 88 Business Center, Setia Alam dan telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Acara itu turut disaksikan oleh tetamu kehormat, wakil media serta peminat industri automotif yang hadir memberikan sokongan.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif NEO FK, Farid Kamil menjelaskan bahawa visi utama penubuhan syarikat ini adalah untuk menyediakan motor elektrik berkualiti tinggi pada harga mampu milik yang mesra alam serta sesuai dimiliki oleh semua lapisan masyarakat. Beliau turut mengumumkan bahawa orang ramai kini boleh mendapatkan motosikal elektrik bermula pada harga serendah RM1,599 sahaja. Farid menegaskan bahawa kenderaan elektrik adalah masa depan mobiliti dan dengan kerjasama GGR Motor, transformasi ke arah penggunaan teknologi hijau dapat dipercepatkan bukan hanya di Selangor tetapi juga di seluruh Malaysia.

Kedai motor elektrik ini menawarkan pelbagai model motosikal EV yang dilengkapi dengan teknologi bateri moden, keupayaan pengecasan pantas serta ciri keselamatan tinggi. Inisiatif ini bukan sahaja memanfaatkan pengguna, malah dijangka membuka peluang pekerjaan baharu dalam bidang penyelenggaraan EV selain memberi ruang kepada vendor tempatan untuk terlibat dalam ekosistem industri hijau negara.
Farid Kamil turut menyeru lebih ramai rakan strategik dalam industri automotif untuk bersama-sama menjayakan usaha ini melalui kerjasama bersama NEO FK. Dengan adanya sokongan kukuh daripada pelbagai pihak, syarikat ini dijangka mampu mengembangkan kapasiti serta pengaruhnya ke peringkat serantau.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan bacaan doa, ucapan penghargaan daripada pihak pengurusan, gimik pelancaran motosikal elektrik serta sesi temu bual media bersama Menteri Besar Selangor dan Farid Kamil sendiri. Langkah berani ini menegaskan peranan selebriti itu bukan sekadar dalam dunia hiburan, tetapi juga dalam menyumbang kepada pembangunan industri hijau yang mampan di Malaysia.