THROWBACK: ANTARA TAWA, AKSI & TANGISAN,INILAH BABAK PALING IKONIK DALAM EJEN ALI THE MOVIE!

Menjelang tayangan filem Ejen Ali The Movie 2 yang dinanti-nantikan pada 22 Mei 2025, peminat animasi tempatan kini kembali disatukan dalam gelombang nostalgia apabila babak-babak paling ikonik daripada filem pertama kembali menjadi sebutan. Sebagai pemanas suasana sebelum misi seterusnya dilancarkan, Ejen Ali The Movie (2019) terus diingati bukan sahaja kerana visual yang memukau, tetapi juga kerana naratif menyentuh hati dan budaya tempatan yang dirayakan.

“Mamak Maju, Servis Laju!” – Legenda Mamak Bertemu Aksi Perisik
Salah satu adegan yang paling mencuri perhatian ialah babak penyusupan di restoran 24 jam Mamak Maju. Dengan elemen humor, tarian bertenaga dan melodi yang catchy, adegan ini menjadi viral selepas ditayangkan, mencatat lebih 20 juta tontonan di YouTube dan menjadi trending No.1. Lagu “Mamak Maju” turut dianggap sebagai penghormatan budaya kepada suasana mamak yang sinonim dengan rakyat Malaysia. Dalam babak ini, Ali, Alicia dan Bakar dibantu tiga pekerja mamak – Rahul, Rajesh dan Razman – yang rupanya bekas ejen MATA dan sahabat lama General Rama. Aksi mereka mengalihkan perhatian pelanggan demi membuka laluan ke pangkalan rahsia MATA berjaya mencipta momen ikonik dalam sejarah animasi Malaysia.

Pertarungan Niki vs Ejen-Ejen MATA – Aksi yang Menggegarkan

Babak pertarungan antara Niki dan pasukan MATA pula mempamerkan pencapaian animasi tempatan pada tahap tertinggi. Dengan gaya sinematografi sinematik dan koreografi aksi yang mengagumkan, penonton dibawa menyusuri sejarah dendam Niki terhadap Dato’ Othman serta kekecewaannya terhadap bekas sahabatnya, Aliya. Perjuangan dalaman dan luaran yang ditampilkan menjadikan babak ini antara yang paling dramatik dan emosional dalam keseluruhan naratif.

Pendedahan Mengejutkan Tentang Aliya – Kisah Ibu yang Terpendam
Antara detik paling mengharukan dalam filem ialah apabila identiti sebenar ibu Ali, iaitu Aliya, didedahkan. Seorang ejen elit MATA yang terkorban dalam misi penting, Aliya hanya dapat ‘ditemui’ kembali oleh Ali menerusi data dalam IRIS. Dalam pertemuan mereka di dimensi maya, Ali terpaksa membuat keputusan besar: menghapuskan data ibunya demi mengaktifkan Override Mode dan menyelamatkan Cyberaya. Adegan ini menyuntik nilai kasih sayang, pengorbanan dan kehilangan yang menjadikan Ejen Ali bukan sekadar cerita aksi.

Ali Menguasai Override Mode – Bangkit Sebagai Wira Sejati
Pertemuan terakhir bersama ibunya disulam dengan lagu “Mama di Hatimu” nyanyian Ida Rahayu Yusoff, turut memberi impak emosi yang mendalam. Di sinilah Ali tampil lebih matang dan yakin, berjaya menguasai Override Mode untuk menumpaskan Niki dan menyelamatkan Cyberaya. Kejayaan ini menjadi lambang warisan dan semangat yang diwarisi dari ibunya, sekaligus mengangkat martabat animasi ini sebagai karya berkualiti tinggi dengan jiwa yang besar.

Tibalah masanya untuk peminat meneruskan perjalanan bersama Ejen Ali dalam Ejen Ali The Movie 2, sebuah sambungan penuh aksi dan emosi yang bakal menggegarkan pawagam pada 22 Mei 2025 ini.

Tonton Treler Rasmi di sini:
https://youtu.be/5nD1LWmAeKc?si=xPVusg_hDpqzHoTQ