Tag: #UnguBand

  • Ungu Semakin Bersedia Gegar Kuala Lumpur, Jualan Tiket Sudah Cecah 50 Peratus

    Ungu Semakin Bersedia Gegar Kuala Lumpur, Jualan Tiket Sudah Cecah 50 Peratus

    Keterujaan menjelang konsert “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” semakin memuncak apabila kumpulan legenda Indonesia, Ungu, bersiap sedia untuk meraikan perjalanan seni mereka selama 30 tahun bersama peminat di Malaysia. Konsert yang bakal berlangsung di Idea Live Arena pada 5 September 2026 itu dijangka menjadi sebuah malam yang sarat dengan emosi, nostalgia dan pelbagai momen istimewa yang pastinya sukar dilupakan.

    Selepas mencipta pelbagai kenangan menerusi lagu-lagu popular seperti “Demi Waktu”, “Tercipta Untukku”, “Seperti Yang Dulu” dan “Cinta Dalam Hati”, Ungu kini bersedia membawa himpunan karya terbaik mereka ke Kuala Lumpur dalam sebuah persembahan yang cukup bermakna sempena ulang tahun ke-30 penubuhan kumpulan tersebut.

    Sejak diumumkan kepada umum, konsert ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat. Media sosial turut dibanjiri pelbagai reaksi positif daripada mereka yang tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada malam bersejarah tersebut.

    Sambutan luar biasa itu turut diterjemahkan menerusi jualan tiket yang kini telah mencapai 50 peratus. Melihat kepada permintaan yang terus meningkat, pihak penganjur juga sedang merancang untuk membuka beberapa kategori tempat duduk baharu dalam masa terdekat bagi memberi lebih banyak pilihan kepada peminat yang ingin hadir.

    Apa yang pasti, konsert ini bukan sekadar menghimpunkan lagu-lagu hits Ungu, malah bakal menawarkan pengalaman yang lebih dekat dan bermakna buat para peminat. Pelbagai kejutan sedang dirancang bagi menjadikan malam tersebut lebih istimewa dan meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan.

    Menambahkan lagi keterujaan, penyanyi terkenal Malaysia, Marsha Milan, diumumkan sebagai artis jemputan khas untuk konsert ini. Lebih menarik, pemilihan Marsha dibuat sendiri oleh anggota Ungu yang melihat beliau sebagai antara penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal dan penghayatan emosi yang mampu melengkapkan konsep persembahan mereka.

    Menurut Ungu, mereka sudah lama mengikuti perkembangan kerjaya seni Marsha dan percaya beliau mempunyai aura tersendiri yang mampu memberikan warna berbeza kepada konsert tersebut.

    “Marsha mempunyai suara yang sangat emosional dan karakter yang kuat ketika menyampaikan lagu. Kami percaya beliau mampu membawa energi yang sesuai untuk malam ini. Kami benar-benar teruja untuk berkongsi pentas bersama Marsha di Kuala Lumpur dan tidak sabar untuk mencipta momen indah bersama peminat Malaysia,” kata anggota Ungu.

    Konsert ini juga bakal membawa penonton menyelusuri perjalanan seni Ungu menerusi tiga segmen utama iaitu “The Birth”, “The Peak” dan “The Legacy”. Setiap segmen akan menggambarkan fasa berbeza dalam perjalanan mereka daripada sebuah kumpulan baharu sehingga menjadi antara nama paling berpengaruh dalam industri muzik Nusantara.

    Bagi menghidupkan pengalaman tersebut, persembahan akan diperkaya dengan elemen visual, susunan muzik khas serta penceritaan yang membawa penonton mengimbau kembali perjalanan tiga dekad Ungu dalam dunia muzik.

    Pengarah Konsert, En. Zairul Addry Helmy daripada COMs. Creative Studio berkata, fokus utama pasukannya adalah untuk menghadirkan sebuah pengalaman yang lebih dekat dengan peminat yang telah membesar bersama lagu-lagu Ungu.

    “Sejak pengumuman konsert ini dibuat, kami menerima sambutan yang sangat luar biasa. Keterujaan itu semakin terasa setiap hari dan kami sendiri tidak sabar menantikan malam tersebut. Apa yang boleh kami katakan, ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu malam yang meraikan muzik, kenangan dan hubungan istimewa antara Ungu dan peminat mereka di Malaysia,” katanya.

    Beliau turut yakin kehadiran Marsha Milan akan menambahkan lagi keistimewaan konsert tersebut.

    “Apabila Ungu sendiri memilih Marsha sebagai artis jemputan, kami tahu kombinasi ini akan menghasilkan sesuatu yang cukup menarik. Kami percaya penonton bakal menyaksikan sebuah kolaborasi yang bukan sahaja mantap dari segi vokal, malah penuh emosi dan keserasian di atas pentas,” ujarnya.

    Selain persembahan daripada Ungu dan Marsha Milan, beberapa lagi kejutan eksklusif dijangka diumumkan dalam masa terdekat. Perkara itu sudah tentu menambahkan lagi tanda tanya dan keterujaan peminat menjelang September nanti.

    Selepas 30 tahun mewarnai industri muzik dengan pelbagai karya yang terus menjadi siulan ramai, Ungu kini bersedia menghadiahkan sebuah malam yang meraikan bukan sahaja muzik, tetapi juga perjalanan, persahabatan dan kenangan yang telah dikongsi bersama peminat sepanjang tiga dekad mereka berkarya.

  • Ungu Raikan 30 Tahun Dengan Konsert Istimewa “3 Dasawarsa” di Idea Live Arena

    Ungu Raikan 30 Tahun Dengan Konsert Istimewa “3 Dasawarsa” di Idea Live Arena

    Tiga dekad dalam industri muzik bukan sekadar satu angka, tetapi sebuah perjalanan panjang yang ditempa dengan jatuh bangun, evolusi serta ketahanan yang jarang dapat dicapai. Bagi kumpulan muzik ikonik dari Indonesia, Ungu, perjalanan ini kini diraikan menerusi konsert istimewa “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur”, yang diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media di Warung Sekawan, Putrajaya. Ditubuhkan pada Julai 1996, Ungu dianggotai oleh Pasha (vokal), Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass) dan Rowman (dram), dan telah membina legasi merentasi generasi melalui karya-karya yang bukan sahaja popular, tetapi turut menjadi sebahagian daripada memori kolektif peminat di Malaysia dan Indonesia.

    Mengangkat tema “3 Dasawarsa” atau tiga dekad, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi juga sebuah dokumentasi hidup yang merakam perjalanan seni Ungu daripada akar sederhana sehingga mencapai status legenda serantau. Menurut Pengarah Konsert, En. Zairul Addry Helmy dari COMs. Creative Studio, penganjuran ini lahir daripada keinginan untuk mengabadikan hubungan erat antara Ungu dan para peminat mereka di Malaysia. Konsert ini diadakan sempena ulang tahun ke-30 Ungu dengan objektif utama meraikan peminat setia mereka di Malaysia, di mana dalam tempoh dua jam, Ungu akan mempersembahkan himpunan lagu-lagu terbaik mereka. Ia bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah dokumentasi perjalanan seni selama tiga dekad dari awal penubuhan hingga ke hari ini.

    Bagi menterjemahkan perjalanan tersebut ke pentas, konsert ini akan dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu “The Birth”, “The Peak” dan “The Legacy”, yang membawa penonton menyelusuri evolusi Ungu dari awal kemunculan sehingga ke kematangan mereka sebagai antara nama besar dalam industri muzik. Setiap segmen merangkumi fasa penting perjalanan kumpulan ini, daripada karya awal yang membentuk identiti mereka, ke era kegemilangan yang penuh pencapaian dan pengiktirafan, sehinggalah ke fasa legasi yang menandakan kekuatan serta kesinambungan perjalanan seni mereka.

    Lebih daripada sekadar persembahan muzik, malam tersebut dijangka menjadi sebuah pengalaman imersif yang berlapis dengan elemen kejutan yang dirancang khas bagi memperkayakan setiap detik di atas pentas. Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond Entertainment, En. KS Tan, berkata kekuatan Ungu bukan hanya terletak pada muzik, tetapi juga pada ketahanan mental, pengalaman jatuh bangun dalam industri serta nilai “brotherhood” yang dibina sejak awal penubuhan kumpulan tersebut. Konsert ini merupakan refleksi kepada keseluruhan perjalanan itu.

    Konsert “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” bakal berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur, iaitu tarikh yang dipersetujui bersama sebagai detik terbaik untuk meraikan ulang tahun ke-30 mereka bersama peminat di Malaysia. Malam istimewa ini turut akan menampilkan lima artis jemputan yang dipilih sendiri oleh Ungu dan akan diumumkan secara berperingkat.

    Sebanyak tujuh kategori tiket akan ditawarkan termasuk pakej eksklusif “Meet & Greet” yang memberi peluang kepada peminat untuk bertemu lebih dekat dengan kumpulan ini, lengkap dengan barangan rasmi edisi terhad seperti t-shirt, lanyard, keychain dan beg tote. Jualan tiket dijangka bermula pada 27 April 2026 dengan tawaran “Early Bird” sebelum jualan umum dibuka.

    Pihak penganjur berharap konsert ini akan menjadi sebuah pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga bermakna kepada setiap peminat yang hadir. Mereka turut menyasarkan sambutan yang luar biasa agar peminat dapat merasai keistimewaan malam ulang tahun ke-30 Ungu ini. Sebagai penutup, Ungu merumuskan keseluruhan perjalanan ini dengan ungkapan ringkas: “Keren banget!”