Kelainan yang dibawakan dalam Sujud Terakhir Encik Norman (STEN) nyata membezakan drama ini daripada naskhah tipikal televisyen tempatan. Di bawah arahan Shahrul Ezad Mohameddin, drama ini berani memaparkan perspektif berbeza terhadap watak ‘penyondol’, apabila karakter Alisa lakonan Trisha Ooi digambarkan mempunyai sisi empati, bukan sekadar antagonis semata-mata.
Konflik menjadi lebih menarik apabila watak Emma yang dilakonkan oleh Sharifah Sakinah tampil dengan dialog penuh emosi yang menggambarkan luka seorang isteri yang dikhianati. Pertembungan dua perspektif ini menjadikan naratif drama lebih kompleks dan dekat dengan realiti kehidupan, sekali gus membuka ruang kepada penonton untuk menilai sendiri isu yang diketengahkan.

Mengangkat tema keagamaan, kekeluargaan dan pengorbanan, drama 28 episod ini bukan sahaja menghiburkan tetapi turut sarat dengan pengajaran. Sujud Terakhir Encik Norman kini menjadi antara tontonan wajib bagi peminat drama tempatan yang mencari kelainan dalam penceritaan.



